KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mahu memperkasa rantaian industri perikanan dengan memastikan ekonomi hasil laut tidak hanya berhenti di jeti atau pasar mentah sahaja.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang tidak perlu selamanya hanya menjadi negeri yang membekal ikan mentah memandangkan negeri ini mempunyai kedudukan penting dalam sektor perikanan di Pantai Timur.
“Berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia, pengeluaran perikanan Pahang pada tahun 2025 mencapai 148,968 tan metrik, meningkat daripada 144,651.73 tan metrik pada tahun 2024 serta tertinggi di Pantai Timur.
“Ini menunjukkan Pahang bukan sekadar mempunyai sumber perikanan yang besar, tapi mempunyai asas yang kukuh untuk membangunkan industri perikanan secara lebih menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Wan Rosdy berkata demikian susulan lawatan kerja delegasi Pahang ke Vigo, Sepanyol bertujuan melihat penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi pemprosesan hasil laut serta pemeliharaan ikan digabungkan bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Wan Rosdy berkata, industri perikanan di Vigo yang berterusan sehingga penghasilan pelbagai produk hiliran disifatkan sangat relevan dengan Pahang.
“Justeru, hasrat kerajaan negeri ialah untuk melihat Pahang bergerak ke satu tahap yang lebih tinggi. Kita mahu hasil laut Pahang diproses di Pahang.
“Daripada ikan segar, kita boleh bangunkan lebih banyak produk hiliran seperti makanan sejuk beku, makanansedia dimakan, produk berasaskan ikan, produk surimi, makanan dalam tin serta pelbagai produk makanan laut yang mempunyai pasaran lebih luas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















![[OPINION] Holding office at the Ruler’s pleasure](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2026/09/MGF27072026_BANDAR-DIRAJA-SERI-MENANTI_04-100x75.jpg)
