R.S. Thanenthiran

KUALA LUMPUR – Parti Makkal Sakti Malaysia menggesa Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk keluar daripada Kerajaan Madani.

Presidennya, Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata, kerjasama itu didakwa tidak lagi memberi manfaat kepada masyarakat dan rakyat.

Gesaan itu jelasnya wajar dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi BN susulan dakwaan bahawa pemimpin BN dan UMNO terus ditekan serta dikenakan pelbagai tohmahan.

Beliau berkata, parti itu sudah beberapa kali memberi peringatan supaya perkara berkenaan diberi perhatian dan tidak membiarkan nama baik BN terus tercalar.

“Bagi pihak Parti Makkal Sakti Malaysia, saya mencadangkan supaya keluarlah daripada Kerajaan Madani ini yang tidak penting dan tidak membuat sesuatu yang baik kepada masyarakat dan rakyat di negara kita.

“Parti Makkal Sakti sekali lagi memohon supaya resolusi ini dipanjangkan kepada Barisan Nasional di peringkat tertinggi untuk dibincangkan kerana cukuplah, cukup sudah kita diuji, cukup sudah pemimpin-pemimpin kita diuji,” katanya dalam ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Tahunan Makkal Sakti ke 18 hari ini.

Ia dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Thanenthiran, Makkal Sakti mahu menjadi benteng kepada BN dan tidak akan membiarkan pemimpin parti itu terus ditekan.

“Kita tidak akan membiarkan begitu sahaja pemimpin-pemimpin kita ditekan. Kita akan berdiri bersama dengan Barisan Nasional dan juga para pemimpin BN.

“Nama BN cuba dirosakkan, difitnahkan dengan pelbagai tohmahan. Maka, adalah menjadi hasrat kami untuk menjadi benteng BN,” katanya.

Beliau berkata, Makkal Sakti akan menggunakan pendekatan serta saluran BN dan UMNO bagi mengusahakan supaya resolusi berkenaan dapat dicapai.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ahmad Zahid atas apa yang didakwanya sebagai perhatian terhadap masyarakat India.

“Datuk Seri Zahid sentiasa memberi nasihat. Kita mempunyai tertib, kita ada caranya dan kita akan guna cara BN dan UMNO dalam mengusahakan bagaimana resolusi ini dapat dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here