Bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther (tengah) kelihatan kurus ketika berjalan keluar selepas dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan Rabu ini bagi memutuskan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beberapa isu awal diselesaikan sebelum mendengar perbicaraan kes saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan insiden serangan seksual pada 2018.

Menurut semakan laman web kehakiman, keputusan itu akan disampaikan oleh Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada pukul 9 pagi.

Keputusan tersebut sepatutnya diumumkan pada 21 September lalu namun ditangguhkan hingga 30 September ini.

Pada 12 Ogos lalu, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah mendengar hujahan peguam Christopher Leong yang mewakili Anwar serta Muhammad Rafique Rashid Ali bagi pihak Muhammed Yusoff.

Mahkamah mendengar bantahan Muhammed Yusoff terhadap permohonan perdana menteri agar beberapa isu awal didengar dan diselesaikan sebelum bermulanya perbicaraan saman sivil yang dikemukakan oleh bekas pembantu penyelidiknya.

Anwar mahu beberapa isu didakwa berkaitan pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di kediaman peribadinya pada 2 Oktober 2018 ditentukan terlebih dahulu sama ada melalui keterangan afidavit atau prosiding tertutup tanpa kehadiran media.

Menurutnya, penentuan isu-isu tersebut berpotensi menyelesaikan keseluruhan saman tersebut tanpa perbicaraan penuh.

Dalam saman tersebut, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, beserta faedah dan kos atas dakwaan beliau diserang oleh Anwar di kediamannya hampir lapan tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here