KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan perbincangan bersama ADUN BN dan Pas malam ini bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berkata, perbincangan itu bertujuan mengkoordinasikan usaha bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa mencampuri urusan pentadbiran negeri.
“Saya sendiri pada malam ini akan mengadakan mesyuarat bersama seluruh ADUN BN dan juga ADUN daripada Pas serta parti-parti lain untuk saya mengkoordinasikan mesyuarat.
“Ia bukan untuk campur tangan, tetapi untuk cari jalan yang terbaik bagi penyelesaian kemelut yang sedang dihadapi di negeri ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Mesyuarat itu akan diadakan malam ini di Menara Dato’ Onn.
Tambah Ahmad Zahid, mesyuat itu bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut itu yang perlu dibuat di peringkat negeri dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat serta peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, mandat rakyat yang diberikan kepada 25 ADUN yang membentuk kerajaan negeri juga perlu dihormati dan diberikan keutamaan.
“Keseluruhan 25 ADUN yang ada, yang telah mendapat mandat untuk membentuk kerajaan ini mesti terus diberikan keutamaan dan penyelesaian akan datang ke Dewan untuk saya punya pilihan yang terbaik bagi kita menyelesaikan masalah yang sedang melanda,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beberapa pilihan akan dibincangkan dalam pertemuan berkenaan dengan mandat 25 ADUN yang telah membentuk kerajaan negeri perlu diberikan keutamaan.
Menurutnya, rakyat juga perlu menjadi keutamaan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid menyerahkan mandat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung kemelut politik yang sedang berlaku di negeri itu.
Ahmad Zahid berkata, Ismail perlu menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selain Undang Yang Empat, Tengku Besar Tampin, Datuk Shahbandar serta hierarki adat negeri bagi membincangkan jalan penyelesaian secara baik.
Beliau berkata, penyelesaian kemelut itu perlu dibuat di peringkat negeri dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat dan peraturan yang sedia ada.
“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan mesti disantuni. Kita cari jalan penyelesaian yang baik di peringkat negeri dan tentunya kita tidak mahu keadaan semakin keruh dan rakyat akan dimangsakan dengan situasi ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menambah, pengisytiharan darurat bukan pilihan yang perlu menuju ke arah itu ketika ini kerana tiada sebarang kekecohan dari segi keamanan berlaku di negeri berkenaan.
“Saya tidak fikir ia harus menuju ke arah itu sebab tidak ada sebarang kekecohan dari segi keamanan di Negeri Sembilan dan tidak perlu pun perkara itu untuk difikirkan.
“Tentu ada option yang lebih baik selain daripada mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Emergency Council di Negeri Sembilan,” katanya.
Sebelum ini, pakar undang-undang mencadangkan penubuhan sebuah tribunal oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan pertikaian yang sedang berlaku antara pihak istana, institusi adat dan kerajaan negeri di Negeri Sembilan.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla yang turut mencadangkan supaya ‘darurat sementara’ diisytiharkan di negeri itu sementara perincian berkaitan penubuhan tribunal diraja tersebut dimuktamadkan, berkata campur tangan Raja-Raja Melayu diperlukan kerana krisis berkenaan semakin meruncing dan telah berada di luar kawalan pihak-pihak lain. – MalaysiaGazette
















