KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan perlu terus berfungsi seperti biasa demi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat tidak terjejas susulan perkembangan semasa yang berlaku di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu antara intipati utama yang dibincangkan dalam pertemuan dan perbincangan yang berlangsung malam ini.
Menurut beliau, tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada usaha memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar, khususnya dalam meneruskan agenda serta program yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Memang kita ada perbincangan soal yang berkaitan dengan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan.
“Tetapi intipati kepada perbincangan ialah Kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dan keutamaan bagi kepentingan rakyat.
“Itu yang mesti dibuat oleh kerajaan yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tergempar di ibu pejabat UMNO, Menara Dato Onn, di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perbincangan berkaitan perkembangan semasa pentadbiran Negeri Sembilan.
Jalaluddin berkata, hasil perbincangan yang berlangsung panjang lebar itu, satu pendekatan dijangka dapat dirangka bagi memastikan kerajaan negeri dapat meneruskan pentadbiran seperti biasa.
“Insya-Allah daripada perbincangan yang panjang lebar, akan ada satu pendekatan untuk pihak kerajaan berjalan seperti biasa untuk kepentingan rakyat.
“Itu yang penting. Itu yang terutama yang harus kita lakukan sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai kaedah bagi memastikan kerajaan negeri terus berfungsi, beliau berkata terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan, bergantung kepada formula pentadbiran yang akan ditentukan.
“Bagaimana kerajaan nak berjalan? Pelbagai kaedah boleh kita gunakan. Dan tentunya Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan kerajaan supaya agenda bagi meneruskan program-program yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dapat kita teruskan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/09/28/kemelut-n9-mesyuarat-adun-bn-zahid-selesai-lepas-tiga-jam/
https://malaysiagazette.com/2026/09/27/25-adun-bertemu-zahid-bincang-penyelesaian-kemelut-n9/
Dalam pada itu, Jalaluddin mengesahkan perbincangan berkenaan turut membabitkan wakil tertentu daripada parti-parti dalam kerajaan negeri.
Beliau berkata, kehadirannya adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, manakala wakil PAS turut hadir dalam perbincangan berkenaan.
Ditanya sama ada semua wakil parti hadir, beliau menjelaskan pertemuan itu turut disertai wakil daripada PAS dan beberapa pihak berkaitan, termasuk barisan backbenchers.
“PAS ada. Wakil Wawasan ada dalam (perbincangan),” katanya.
Jalaluddin turut memberi gambaran bahawa perbincangan masih berlangsung dan pihak terbabit akan meneliti pendekatan terbaik bagi memastikan urusan pentadbiran negeri tidak terhenti.
“Saya tunggu lambat bukan kerana apa, kerana kita ada sedikit discussion,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















