SERI KEMBANGAN – Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali akan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat oleh keluarga Allahyarhamah dan jenazah akan disemadikan bersebelahan pusara Allahyarhamah Tun Endon Mahmood.
“Pihak kerajaan telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman untuk memastikan istiadat pengebumian pembesar negara diberikan buat Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah.
“Dalam keputusan keluarga, Allahyarhamah akan dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir ke Masjid As-Syarif, Sungai Besi kira-kira jam 3.45 petang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Beliau berkata, kerajaan turut mengarahkan semua stesen radio dan televisyen menyesuaikan rancangan masing-masing sepanjang hari ini sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarhamah.
Mengimbau kenangan bersama Allahyarhamah, Fahmi berkata, antara kenangan terawalnya adalah ketika beliau berusia 12 tahun dan masih bersekolah rendah.
“Saya baru diingatkan oleh seorang bekas guru saya yang merupakan seorang wartawan seni bahawa saya pernah membuat satu pementasan teater di sekolah bersama rakan-rakan dan disaksikan oleh Tun Siti waktu itu.
“Itu mungkin antara kenangan terawal saya. Jadi, saya rasa pemergian ini semestinya tak disangka, ketentuan Ilahi.
“She meant a lot of things to many people. Memang jasa beliau sebagai seorang ibu, sebagai seorang doktor akan sentiasa kita kenang,” katanya. – MalaysiaGazette
















