KUALA LUMPUR – Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali masih ceria ketika bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, malam tadi sebelum menyatakan bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan mereka semua.
Mukhriz berkata, walaupun sudah berada di Institut Jantung Negara (IJN) kerana komplikasi lain, keadaan Allahyarhamah malam tadi tidak menunjukkan sebarang petanda buruk, malah berada dalam suasana ceria.
“Saya sebenarnya bersama dengan beliau malam semalam. Waktu itu dia sudah pun berada di IJN atas penyakit yang lain sebenarnya, tetapi mood-nya sangat ceria.
“Walaupun begitu, dia ada beritahu saya yang dia sudah bersedia untuk meninggalkan kita semua. Jadi nampaknya dia dah bertawakal,” katanya ketika ditemui media selepas selesai urusan pengebumian Allahyarhamah, malam ini.
Menurut Mukhriz, beliau menerima makluman daripada pihak hospital kira-kira jam 8 pagi bahawa ibunya mengalami sakit jantung sebelum bergegas ke IJN.
“Dan pagi tadi, tanpa dijangka, saya dimaklumkan daripada pihak hospital bahawa dia mengalami sakit jantung lebih kurang pukul 8 pagi, dan saya terus bergegas ke IJN,” ujarnya.
Beliau berkata, ketika tiba di IJN, pasukan pakar sedang melakukan CPR terhadap Allahyarhamah sebelum beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).
“Pihak pakar kita di IJN pada waktu itu tengah melakukan CPR ke atas Allahyarhamah, dan kemudian dipindah ke CCU,” katanya.
Mukhriz berkata, kira-kira jam 9 pagi, keluarga dimaklumkan usaha CPR hanya akan diteruskan selama 15 minit lagi sekiranya jantung Allahyarhamah masih tidak kembali berfungsi.
“Pada pukul 9 pagi, kami dimaklumkan CPR yang telah dijalankan itu hanya akan dibuat selama 15 minit lagi, dan kalau jantung tak terus berfungsi, maka tindakan CPR itu akan dihentikan.
“Dan kita waktu itu dah faham maksud doktor.
“Dan tepat pada 9.30 pagi, beliau telah meninggalkan kita semua,” katanya beremosi.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, keluarga masih menunggu penjelasan rasmi IJN berhubung penyakit dan komplikasi yang dialami Allahyarhamah sebelum serangan jantung pagi tadi.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun. -MalaysiaGazette
















