KUALA LUMPUR: Negara akan terus mengenang jasa dan curah bakti Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, dalam ingatan ramai, Allahyarham adalah seorang ibu yang menyantuni sesiapa sahaja dengan penuh kasih, malah berupaya membuatkan setiap mereka berasa dekat dan dihargai.
Dalam masa sama, katanya, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad terus kuat dengan ujian-Nya, terus dikurniakan kesihatan dan sentiasa dipayungi kasih sayang keluarga.
“Semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal bakti dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Terima kasih juga Kak Hasmah atas setiap budimu kepada kami, dan pastinya doa serta ingatan kami mengiringi pemergianmu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, kata Perdana Menteri, beliau dan Wan Azizah hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disapa sebagai `Kak Hasmah’.
“…sosok ibu yang kelembutan dan kasihnya akan sentiasa kami kenang, selain juga sebagai seorang sahabat dan rakan karib di tahun-tahun lampau.
“Tentunya sukar untuk kami berdua menghadam hakikat ini bahawa beliau kini telah pergi, lebih-lebih lagi apabila setiap babak indah yang dikongsi bersama kembali terpancar di depan mata hati yang terdalam,” katanya. – MalaysiaGazette
















