Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan tiba di pekarangan mahkamah bagi pertuduhan terima rasuah hampir RM1.1 juta lulus kuota pekerja asing di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – SPRM mempunyai kuasa mendapatkan maklumat berkaitan harta yang mempunyai kaitan dengan kanak-kanak, namun persoalannya ialah bagaimana kuasa itu dilaksanakan apabila individu terbabit baru berusia 12 tahun.

Bekas Pengerusi Badan Peguam Selangor dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Majlis Peguam, V Kokila Vaani berkata, Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memberikan SPRM kuasa mendapatkan maklumat berhubung sesuatu harta apabila terdapat alasan munasabah berdasarkan sesuatu siasatan.

Ini termasuk daripada saudara atau sekutu individu yang disiasat.

Katanya, peruntukan itu tidak secara nyata mengecualikan kanak-kanak, justeru usia 12 tahun semata-mata tidak bermakna SPRM tidak boleh mendapatkan maklumat daripadanya.

“Namun begitu, umur kanak-kanak tersebut tetap merupakan faktor yang penting kerana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun mungkin mempunyai kepentingan di sisi undang-undang atau kepentingan benefisial terhadap sesuatu harta,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Peguam, V Kokila

Menurut Kokila, ketidakupayaan kanak-kanak untuk berkontrak tidak bermakna mereka tidak boleh mempunyai kepentingan terhadap harta kerana ia boleh timbul melalui pusaka, amanah, wasiat atau hibah yang sah.

Katanya, hakikat sesuatu harta atau akaun didaftarkan atas nama kanak-kanak juga tidak semestinya bermaksud kanak-kanak itu memahami atau mengurus harta berkenaan sendiri, kerana pengurusannya mungkin dilakukan ibu bapa atau penjaga.

Kokila berkata, tahap kefahaman kanak-kanak terhadap soalan yang dikemukakan juga perlu diberi perhatian, khususnya apabila Seksyen 36 mewajibkan penerima notis memberikan maklumat yang benar dan mendedahkan maklumat dalam pengetahuan atau yang boleh diperolehnya.

“Walaupun pernyataan di bawah Seksyen 36 bukanlah sama dengan keterangan di mahkamah, prinsip bahawa tahap kefahaman sebenar kanak-kanak adalah penting tidak boleh diketepikan,” tegasnya lagi.

Menurutnya, perkara itu lebih penting kerana kegagalan mematuhi notis di bawah Seksyen 36 boleh membawa akibat jenayah, termasuk hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000 di bawah Seksyen 36(2).

“Sekiranya seorang kanak-kanak tidak memahami soalan yang dikemukakan kepadanya tetapi tetap dikehendaki menjawab atau membuat pengisytiharan, kita perlu bertanya sama ada wajar untuk meletakkan kanak-kanak tersebut dalam risiko akibat jenayah.

”Sedangkan dia mungkin tidak memahami sepenuhnya kewajipan yang dikenakan terhadapnya,” jelas beliau.

Katanya, persoalan seterusnya ialah sama ada Seksyen 36 dengan jelas memperuntukkan kehadiran dan penyoalan secara peribadi terhadap kanak-kanak atau maklumat itu boleh diperoleh melalui ibu bapa, penjaga atau wakil yang sesuai.

Sementara itu, pengamal undang-undang jenayah, Lavinia Raja berkata, dari sudut peruntukan undang-undang, SPRM mempunyai asas untuk menyampaikan notis Seksyen 36 kepada kanak-kanak kerana Seksyen 3 Akta SPRM mentakrifkan kanak-kanak sebagai ‘saudara’ tanpa menetapkan had umur minimum.

Bagaimanapun, katanya, walaupun notis boleh dikeluarkan kepada kanak-kanak, seorang berusia 12 tahun tidak mempunyai kapasiti undang-undang sepenuhnya untuk mengurus sendiri urusan pengisytiharan harta.

Peguam , Lavinia Raja

“Dalam keadaan ini, adalah lebih logik dan munasabah sekiranya notis itu disampaikan kepada ibu bapa bagi pihak kanak-kanak,” ujarnya.

Lavinia berkata, urusan pengisytiharan, dokumentasi serta perkara berkaitan kewangan dan perundangan lazimnya boleh diurus dan dikemukakan oleh ibu bapa bagi pihak anak bawah umur.

Katanya, walaupun SPRM mempunyai kuasa luas di bawah Seksyen 36, penyampaian notis secara terus kepada kanak-kanak berusia 12 tahun atau menghendaki kanak-kanak bawah umur hadir secara fizikal ke ibu pejabat agensi menimbulkan persoalan dari sudut prosedur dan etika.

Ini terutamanya apabila dokumentasi itu boleh disalurkan melalui penjaga sah.

Hari ini, dua orang anak dan isteri Datuk Seri M Saravanan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menerima notis pengisytiharan harta, mencetuskan pelbagai persoalan mengenai kaedah pelaksanaan kuasa berkenaan apabila ia membabitkan kanak-kanak bawah umur. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here