Sekumpulan anjing liar berkeliaran ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Klang. Foto SADIQ SANI, 04 OGOS 2026.

ALOR SETAR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah (JPVK) mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap haiwan yang disyaki dijangkiti rabies, susulan penularan penyakit itu di Kubang Pasu.

Ketua Bahagian Kesihatan JPVK Dr Ummi Sumilah Soraya Mohamad Johar berkata orang ramai, khususnya di kawasan terjejas tidak seharusnya menangkap, memukul atau membunuh haiwan, terutama anjing liar, sebaliknya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata langkah itu penting kerana rabies boleh berjangkit melalui air liur, darah atau gigitan haiwan yang dijangkiti, malah kecederaan kecil juga berisiko menyebabkan jangkitan.

“Susulan kes rabies yang dikesan di Kubang Pasu, JPVK membuka dua bilik gerakan, iaitu di Alor Setar yang boleh dihubungi di talian 04-702 5336 dan Kubang Pasu di talian 04-916 2207. Kami juga boleh dihubungi melalui Facebook JPVK,” katanya dalam program Bicara Kedah Sihat menerusi siaran langsung Facebook Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah bertajuk “Rabies: Apa Perlu Kita Tahu?” hari ini.

Siaran langsung itu diadakan sebagai antara usaha JKN Kedah memberi penerangan kepada orang ramai mengenai rabies susulan kematian seorang lelaki berusia 31 tahun di Kubang Pasu akibat penyakit berkenaan semalam.

Dr Ummi Sumilah Soraya berkata JPVK turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengawal populasi anjing liar di kawasan terjejas dalam radius 10 kilometer.

Beliau berkata operasi pengendalian haiwan dilakukan dengan menggunakan peralatan perlindungan keselamatan lengkap bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas.

“Rabies di negara ini, khususnya di Semenanjung, biasanya berpunca daripada anjing, namun risiko jangkitan juga wujud melalui haiwan mamalia lain seperti kucing, kelawar, lembu dan ternakan ruminan,” katanya.

Menurut Dr Ummi Sumilah Soraya, antara tanda anjing yang dijangkiti rabies ialah air liur berlebihan, rahang terkulai serta perubahan tingkah laku apabila sistem saraf haiwan itu mula terjejas.

Beliau berkata anjing yang sebelum ini jinak boleh berubah menjadi agresif, menggigit tanpa diprovokasi atau mengeluarkan bunyi salakan yang luar biasa, namun terdapat juga haiwan dijangkiti yang tidak menunjukkan tingkah laku agresif, sebaliknya kelihatan murung serta tidak peka terhadap persekitaran.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan pemilik anjing supaya memastikan haiwan peliharaan mereka telah menerima vaksin rabies, khususnya di kawasan terjejas seperti Kubang Pasu.

“Hubungi bilik gerakan untuk mengatur sesi vaksinasi anjing peliharaan. Suntikan semasa wabak ini tidak dikenakan bayaran dan kami juga akan meningkatkan lawatan dari rumah ke rumah bagi memastikan haiwan peliharaan mendapat vaksin.

“Jadilah pemilik yang bertanggungjawab dengan memastikan anjing berada di dalam premis dan jika dibawa keluar, ia hendaklah dirantai serta dikendalikan oleh pemilik,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam JKN Kedah Dr Tan Wei Leong berkata individu yang digigit atau dicakar haiwan, termasuk anjing dan kucing, perlu segera mencuci luka menggunakan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit.

Beliau berkata selepas mencuci luka, mangsa perlu segera mendapatkan pemeriksaan di klinik atau fasiliti kesihatan terdekat bagi penilaian risiko dan tidak menganggap kecederaan kecil sebagai tidak berbahaya.

“Rabies ialah penyakit yang disebabkan virus yang menyerang sistem saraf, termasuk otak dan boleh menyebabkan kematian apabila gejala muncul. Risiko kematian boleh dikurangkan melalui rawatan pencegahan segera selepas gigitan, termasuk mendapatkan suntikan profilaksis pasca pendedahan (PEP) rabies,” katanya.

Dr Tan berkata doktor akan menilai risiko berdasarkan haiwan yang menggigit serta lokasi kejadian sebelum menentukan keperluan rawatan PEP, yang melibatkan beberapa dos vaksin mengikut jadual yang ditetapkan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here