KUALA LUMPUR – Airbnb mengesyorkan lima cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027, antaranya memperkasa perkongsian kediaman, mengukuhkan pelancongan domestik serta memperkenalkan garis panduan Penginapan Sewa Jangka Pendek (STRA) kebangsaan yang adil dan progresif.
Ketua Dasar Awam Airbnb Asia Tenggara, Shanta Arul berkata, cadangan itu bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi pelancongan yang inklusif dan mampan, selain memastikan lebih banyak komuniti mendapat manfaat daripada perkembangan sektor berkenaan.
Antara cadangan utama ialah memperluaskan program geran dan pembiayaan sedia ada bagi menyokong literasi digital, keselamatan, pematuhan, pengehosan mampan dan keusahawanan, khususnya dalam kalangan wanita, belia serta usahawan mikro.
Airbnb berkata, program seperti GAMELAN dan TEKUN Nasional di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) boleh diperluaskan bagi tujuan tersebut.
Syarikat itu turut mencadangkan pengukuhan pelancongan domestik dengan menggalakkan kunjungan ke bandar sekunder, daerah warisan dan destinasi luar bandar menerusi pemasaran destinasi bersasar, peningkatan keterlihatan digital serta kerjasama awam-swasta.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia merekodkan 290.1 juta pelawat domestik pada 2025, manakala perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 13.6 peratus kepada RM121.3 bilion.
Airbnb berkata, angka itu menunjukkan potensi besar pelancongan domestik untuk memacu pertumbuhan yang lebih seimbang dengan menggalakkan perbelanjaan pelawat ke destinasi kurang dikenali serta komuniti tempatan.
Cadangan seterusnya ialah mengiktiraf peranan perkongsian kediaman dalam memenuhi keperluan penginapan bagi pelancongan, acara dan tujuan lain termasuk penginapan perubatan.
Airbnb.org, menerusi kerjasama dengan National Cancer Society Malaysia (NCSM), misalnya menyediakan penginapan kepada pesakit dan penjaga yang layak.
Airbnb turut menyokong Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 dengan menyediakan penginapan kepada atlet, keluarga dan pegawai serta bersedia meneroka sokongan sama bagi acara akan datang termasuk Sukan SEA 2027 dan Sukan Para ASEAN.
Dalam pada itu, Airbnb mengalu-alukan usaha kerajaan mengkaji dan memodenkan Akta Industri Pelancongan 1992 (TIA), namun mencadangkan supaya semakan itu mewujudkan persekitaran yang adil kepada pemain industri, menggalakkan inovasi dan memperkukuh perlindungan pengguna.
Airbnb turut menggesa kerajaan mempertimbangkan Garis Panduan STRA Kebangsaan yang memberikan kejelasan kepada sektor berkenaan tanpa mengenakan sekatan tidak perlu kepada rakyat Malaysia yang menyertai ekonomi pelancongan melalui home sharing.
Menurutnya, piawaian nasional yang jelas perlu diwujudkan tanpa membebankan perniagaan kecil dan hos individu, selain membolehkan pihak berkuasa tempatan melaksanakannya dengan lebih berkesan serta menyediakan tahap keseragaman tertentu antara negeri.
“Airbnb berbangga dapat menyokong dan menyumbang kepada ekosistem pelancongan Malaysia,” katanya dalam kenyataan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.
Menurut Shanta, analisis impak ekonomi menggunakan model IMPLAN menunjukkan aktiviti berkaitan Airbnb menyumbang kira-kira RM8.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025, selain menyokong kira-kira 108,300 pekerjaan dan menjana kira-kira RM3 bilion pendapatan buruh.
Katanya, sumbangan itu turut mewujudkan peluang kepada perniagaan tempatan dan membantu meluaskan manfaat ekonomi pelancongan melangkaui kawasan tumpuan pelancong tradisional.
Airbnb berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan menerusi promosi pelancongan, pembangunan kapasiti komuniti serta perkongsian amalan terbaik bagi menyokong pelaksanaan dasar berkenaan. – MalaysiaGazette
















