KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila dipilih mewakili Malaysia ke Kejohanan FISU World University Championship Sailing 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 28 September hingga 3 Oktober 2026 di Split, Croatia.
Kejohanan dwitahunan berprestij ini menghimpunkan penyertaan pelajar universiti dari 16 negara yang mewakili benua masing-masing. Malaysia, menerusi pasukan pelayaran UMT, berjaya menempatkan diri sebagai salah satu daripada empat wakil Asia, bersama Jepun, Singapura dan Korea.
Delegasi Malaysia akan diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT.
Pasukan pelayaran negara ini dibarisi oleh atlet berpengalaman yang terdiri daripada bekas pelayar kebangsaan dan negeri yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda di UMT.
Barisan atlet pelayaran UMT yang mewakili Malaysia akan diketui oleh Nur Awatif Safri yang juga bekas pelayar kebangsaan dan Negeri Sabah, Nurul Izzryn Shamsul Arrifin, bekas pelayar SUKMA Negeri Selangor, Ammar Azali bekas pelayar SUKMA Negeri Perlis dan Muhammad Sufendi bin Suharto, bekas pelayar Negeri Selangor
Dengan pengalaman luas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pasukan Malaysia meletakkan sasaran untuk meraih pingat dalam kejohanan kali ini, sekali gus mengangkat nama negara di pentas sukan universiti dunia.
Menurut kapten pasukan, Nur Awatif Safri, penyertaan ini merupakan peluang besar untuk membuktikan keupayaan atlet
pelayaran negara.
“Kami telah membuat persiapan rapi dari segi fizikal, mental dan teknikal. Beraksi di pentas dunia bukan sahaja satu penghormatan, tetapi juga cabaran untuk kami memberikan yang terbaik buat Malaysia. Sokongan rakyat Malaysia amat kami hargai dalam menyuntik semangat juang sepanjang kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, Profesor Dr. Suriyani Muhamad, Naib Canselor UMT menzahirkan harapan agar pasukan pelayaran UMt yang mewakili negara dapat mempamerkan prestasi cemerlang serta menjunjung semangat kesukanan yang tinggi.
“Penyertaan ini bukan sahaja membawa nama UMT, malah mewakili maruah negara di pentas antarabangsa. Saya berharap para atlet dapat memberikan saingan terbaik, berdisiplin tinggi serta menjadikan pengalaman ini sebagai platform pembinaan jati diri dan kepimpinan mahasiswa,” ujarnya.
UMT yakin penyertaan ini bukan sahaja menjadi platform untuk kecemerlangan sukan, malah memperkukuh reputasi universiti sebagai peneraju dalam bidang berkaitan marin dan kelautan.
Sokongan dan doa seluruh rakyat Malaysia amat diharapkan bagi mengiringi perjuangan pasukan pelayaran negara di arena antarabangsa. – MalaysiaGazette
















