GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh perkongsian dalam bidang pendidikan fleksibel dan Micro-Credential, khususnya membabitkan aspek tadbir urus serta jaminan kualiti.
Ia susulan sesi perkongsian strategik antara Pusat Pengesahan Kualiti (QVC) USM dengan Pusat Pendidikan Fleksibel Universiti Malaysia Sabah (UMSFLEC) sempena lawatan penanda aras UMSFLEC ke USM, baru-baru ini.
Penyelaras QVC USM, Dr Nik Hadiyan Nik Azman berkata, sesi berkenaan menjadi platform pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua institusi berkaitan pendekatan pengurusan pendidikan fleksibel dan Micro-Credential.
Katanya, pertemuan itu turut memberi ruang kepada UMSFLEC mendapatkan input yang relevan bagi menyokong perancangan penambahbaikan pelaksanaan program di UMS.
“Perkembangan pendidikan fleksibel dan micro-credential mencerminkan perubahan dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin memberi perhatian kepada bentuk pembelajaran yang lebih anjal dan bersasar, termasuk usaha melengkapkan pembelajaran dalam program akademik sedia ada dengan kompetensi tambahan yang relevan.
“Bagi pelajar, pendekatan berkenaan membuka ruang untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran melalui pengalaman pembelajaran yang lebih fleksibel, selain menyokong pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat serta perkembangan kompetensi yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran dan kerjaya,” katanya dalam ke haram media hari ini.
Nik Hadiyan berkata, jaminan kualiti menjadi elemen penting bagi memastikan inovasi pendidikan yang diperkenalkan mempunyai hasil pembelajaran dan standard akademik yang jelas.
“Peranan QVC adalah signifikan dalam menyokong ekosistem Micro-Credential yang bukan sahaja menekankan fleksibiliti penyampaian, tetapi turut memastikan aspek kualiti dan nilai pengalaman pembelajaran kepada pelajar diberi perhatian,” katanya.
Sesi berkenaan memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus dan jaminan kualiti dalam pelaksanaan pendidikan fleksibel dan Micro-Credential, selaras dengan keperluan pembelajaran yang semakin menekankan fleksibiliti, pembangunan kompetensi serta pembelajaran sepanjang hayat.
Pertemuan itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua institusi untuk memperluas perkongsian kepakaran, pengalaman serta amalan inovatif dalam pendidikan fleksibel.
QVC USM menyifatkan kunjungan delegasi UMSFLEC sebagai signifikan dalam memperkukuh inisiatif kolaboratif yang lebih luas dalam micro-credential, pembelajaran digital, pendidikan fleksibel dan inovasi pembelajaran. – MalaysiaGazette
















