Penguat kuasa JAINJ melakukan serbuan serta menahan pasangan kolej di sebuah hotel, Pasir Gudang, semalam

PASIR GUDANG – Cubaan seorang pelajar kolej bersembunyi bawah tilam semasa ditangkap khalwat tidak menjadi apabila berjaya ditemui dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel di sini semalam.

Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang melakukan serbuan pukul 9.15 pagi pada mulanya tidak sedar remaja lelaki itu berada bawah tilam kerana pasangannya yang juga pelajar kolej duduk atas tilam berkenaan.

Menurut JAINJ, helah tersebut terbongkar selepas wanita tersebut duduk atas tilam dalam keadaan meragukan sehingga menimbulkan rasa curiga penguat kuasa.

JAINJ memaklumkan, gerak geri wanita berkenaan sejak awal serbuan sudah menimbulkan kecurigaan.

Jelas jabatan tersebut, semasa penguat kuasa mengetuk pintu dan memanggil dengan kuat tiada siapa yang membukanya serta merta tetapi terdengar seperti bunyi kerusi sedang dialihkan.

“Penguat kuasa terus ketuk pintu lagi tetapi masih belum dibuka. Selepas 10 minit kemudian, barulah pintu dibuka oleh seorang wanita yang memakai seluar panjang, t-shirt lengan pendek dan bertudung.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan masuk untuk pemeriksaan lanjut,” menurut jabatan berkenaan.

Apabila ditanya siapa lagi berada dalam bilik, wanita terbabit tidak menjawab sebelum pemeriksaan dilakukan dalam tandas namun tidak menemui sesiapapun.

Semasa pemeriksaan wanita berkenaan hanya duduk atas katil dan tidak mahu beralih sebelum penguat kuasa ternampak kasut lelaki dan bertanya milik siapa.

“Wanita itu mengelengkan kepala sebagai tanda dia tak tahu. Penguat kuasa nampak tilam katil itu sudah renyuk manakala cadar dan bantal bersepah ke bawah lantai.

“Penguat kuasa mensyaki sesuatu tetapi memberi peluang untuk wanita ini berterus terang. Wanita itu diminta bangun dan didapati seperti ada orang di bawah tilam atas katil itu.”

Penguat kuasa memanggil dengan kuat sebelum terkeluar sebelah tangan lalu penguat kuasa melakukan pemeriksaan lantas menemui seorang lelaki yang sedang baring meniarap bawah tilam dengan memakai seluar pendek dan t-shirt.

Lelaki tersebut kemudian bangun dan kelihatan pucat melihat penguat kuasa, hasil soal siasat, mereka mengaku hanya berdua-duan dan bukan suami isteri.

“Mereka merayu supaya tidak ditangkap kerana sedang belajar dan kedua-duanya berusia 19 tahun serta masih bujang. Pasangan ini sedang belajar di sebuah kolej di sini. Lelaki ini berasal dari sebuah negeri lain manakala wanita pula berasal dari Johor Bahru.

“Mereka berkenalan, masih baru di kolej itu dan semakin rapat sehingga menyambung episod kemesraan dalam bilik hotel pula.”

Selepas ditangkap, ibu bapa pasangan berkenaan diminta menjadi penjamin dan terkejut dengan perbuatan yang dilakukan anak-anak mereka.

Pasangan tersebut ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here