KUALA LUMPUR – Gabungan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Awam Malaysia (GAKUM) mendesak supaya satu reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap syarikat-syarikat pegangan universiti awam yang tidak kompeten dalam mencapai matlamat asal penubuhannya.
Ia khususnya dalam memperkukuh kemampanan kewangan universiti, kata Presiden GAKUM, Norsyahriman Md Arif.
Beliau menegaskan, langkah itu penting susulan perkembangan berkaitan kerugian UiTM Holdings yang dianggarkan mencecah RM157 juta.
Menurut beliau, GAKUM menyambut baik saranan dan kenyataan tegas Perdana Menteri supaya kepincangan berkenaan disiasat segera dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terbukti berlaku penyelewengan.
“GAKUM yakin dan percaya isu ini sudah sampai ke pengetahuan Menteri Pendidikan Tinggi berdasarkan kenyataan media beliau pada 27 September lalu.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah menyusun beberapa langkah strategik supaya syarikat pegangan universiti awam dapat berfungsi dengan lebih efisien dan memberi sumbangan bermakna kepada universiti masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perkara berkaitan prestasi syarikat pegangan universiti awam turut dibangkitkan GAKUM ketika kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan Tinggi pada 7 September lalu.
Katanya, GAKUM berpandangan sebahagian besar syarikat pegangan universiti awam telah gagal memainkan peranan mereka dengan baik.
“Peneraju utama syarikat pegangan universiti awam hendaklah memacu syarikat berkenaan ke arah penjanaan pendapatan yang membanggakan, berdaya saing, mengoptimumkan aset serta memastikan setiap inisiatif dan keputusan perniagaan diterjemahkan kepada pulangan yang nyata kepada universiti.
“Kegagalan mencapai sasaran ditetapkan tidak wajar dibiarkan berlarutan, sebaliknya perlu disusuli tindakan pembetulan yang segera, tegas dan berakauntabiliti,” ujarnya.
Norsyahriman berkata, GAKUM memandang serius isu itu kerana syarikat pegangan universiti awam tidak seharusnya sekadar dilihat sebagai entiti korporat yang wujud atas dasar pentadbiran.
Sebaliknya kata beliau, entiti berkenaan perlu berfungsi sebagai instrumen strategik yang memberikan nilai tambah jelas kepada universiti.
Antara langkah yang dicadangkan GAKUM bagi membendung isu ketirisan dan kerugian ialah melaksanakan audit prestasi dan kewangan secara menyeluruh serta berkala.
Selain itu, katanya, penilaian semula modal dan model perniagaan serta semua aset universiti yang diletakkan di bawah pengurusan syarikat pegangan juga perlu dilaksanakan.
“Struktur tadbir urus dan pelantikan ahli lembaga pengarah juga perlu disemak semula, selain menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan telus.
“Pelaporan prestasi secara berkala kepada pihak berkepentingan dan pemegang taruh universiti juga perlu diwujudkan,” tambahnya.
Beliau berharap kerajaan dan KPT dapat merealisasikan reformasi syarikat pegangan universiti awam demi memperkukuh kemampanan kewangan universiti.
“Universiti awam tidak boleh berterusan menanggung kos entiti korporat yang gagal memberikan nilai tambah yang setimpal dan berbaloi,” katanya. – MalaysiaGazette
















