MELAKA – Jika 20 tahun dahulu Tanjung Bidara hanya dikenali sebagai perkampungan nelayan yang serba kekurangan.
Tanjung Bidara ketika itu sememangnya dikenali memiliki pantai menarik namun bilangan pelancongnya boleh dibilang dengan jari.

Namun atas inisiatif Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, kawasan itu kini memiliki jenamanya yang tersendiri.

Daripada sebuah perkampungan nelayan kini berubah wajah menjadi antara enjin baharu pelancongan pesisir pantai utama di Melaka.
Dalam tempoh tiga tahun ini, sebanyak 212 projek pembangunan bernilai lebih RM41 juta telah dilaksanakan di DUN Tanjung Bidara merangkumi kesihatan, pendidikan, keagamaan, bekalan air dan perlindungan pesisir pantai.
Beberapa penduduk kelahiran Tanjung Bidara mengakui perubahan itu berlaku di depan mata mereka.

Seorang pekerja swasta, Nadiatul Akmalia Abdullah, 31, jika dahulu, Tanjung Bidara agak sepi namun kini ia berubah menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

“Sejak Datuk Seri Ab Rauf menjadi wakil rakyat di sini, Tanjung Bidara semakin popular terutama dari sudut pelancongan. Ramai orang luar berkunjung ke sini yang sekali gus menyebabkan semakin banyak chalet dan inap desa dibangunkan di kawasan ini.
“Penduduk pun boleh menjalankan perniagaan sama ada berskala besar atau kecil-kecilan yang sekali gus menambah pendapatan,” katanya yang berasal dari Kampung Pasir Gembur, Tanjung Bidara,” katanya.
Seorang lagi anak jati Tanjung Bidara, Norashikin Amran, 41, berkata, perubahan paling ketara apabila muncul pelbagai kedai makan dan restoran yang sering tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Ia ekoran semakin ramai pengunjung luar berkunjung ke Tanjung Bidara untuk bercuti dan beriadah.
“Kita nampak perubahan di sini dan yang paling ketara ialah pantai Tanjung Bidara yang telah dinaik taraf.
“Perniagaan semakin banyak dan setiap satu kilometer pasti ada kedai makan. Kalau datang Tanjung Bidara memang tidak lapar lah,” katanya.
Perkara itu dipersetujui seorang peniaga kedai makan, Nur Fatini Mohd Ridzuan yang dapat membezakan sambutan pelanggan di premisnya pada masa dahulu dan sekarang.

“Dulu kedai saya kecil tapi sekarang saya terpaksa membesarkannya dan menambah pekerja kerana pelanggan semakin bertambah,” jelasnya.
Seorang penduduk dari Kampung Padang Kemunting, Tanjung Bidara, Roslan Hussain, 56, pula berkata, Tanjung Bidara telah berubah sebanyak 120 peratus berbanding 10 tahun lalu.
Katanya, kemajuan pembangunannya merangkumi pelbagai aspek sosio ekonomi penduduk.

“Daripada segi aktiviti nelayan dan pertanian kini semakin moden, kemudahan pembangunan sukan anak muda semakin lengkap, kemudahan jalan raya semakin baik,” jelasnya.
Baru-baru ini, Ab Rauf berkata, pihaknya mahu mengangkat pantai Tanjung Bidara sebagai destinasi pelancongan pantai dan ekopelancongan luar bandar yang menarik di negeri berkenaan.
Produk unik yang tiada di tempat lain turut dibangunkan seperti Pusat Konservasi Penyu Karah di Padang Kemunting, yang telah menerima lebih 80,000 pengunjung.
Kerajaan negeri menyasarkan ia menjadi produk pelancongan konservasi baharu dengan kajian terperinci sedang dijalankan untuk membolehkan pelancong menyaksikan sendiri habitat Penyu Karah bertelur. – MalaysiaGazette
















