Tiga buah kapal digunakan untuk menghantar pulang pendatang asing Myanmar ke negara asal.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,476 warga Myanmar yang berada di Depot Tahanan Imigresen memulakan Fasa Pertama program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal, hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, penghantaran pulang itu dilaksanakan berdasarkan senarai yang dikemukakan Kerajaan Myanmar menerusi Nota Diplomatik rasmi.

Menurutnya, penghantaran berkenaan menggunakan laluan laut menerusi dua kapal dan sebuah kapal hospital milik Kerajaan Myanmar dengan penyelarasan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Madani untuk menyelesaikan permasalahan legasi tersebut berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, pendekatan yang diambil kekal berteraskan nilai Ihsan dan semangat kekeluargaan ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebahagian daripada pendatang asing Myanmar menaiki bas dari Depot Tahanan Imigresen sebelum dihantar pulang.

KDN berkata, sehingga 15 Ogos lalu, seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen sedang melalui proses pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan.

Daripada jumlah itu, seramai 5,000 warga Myanmar telah dimuktamadkan untuk menjalani program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat.

“Penghantaran pulang ini adalah berasaskan persetujuan Kerajaan Myanmar untuk menerima mereka serta persetujuan individu yang terlibat untuk pulang secara sukarela,” katanya.

Menurut KDN, langkah berkenaan dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan berperikemanusiaan tanpa berkompromi terhadap keselamatan serta kedaulatan negara.

Katanya, melalui rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar dan penguatkuasaan undang-undang, kerajaan dapat memperkukuh pengurusan warga asing serta individu yang mendakwa sebagai pelarian berdasarkan identiti dan status yang telah dikenal pasti.

“Pendekatan ini membolehkan tindakan susulan dibuat secara lebih teratur berdasarkan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa,” katanya.

KDN berkata, fasa penghantaran pulang seterusnya akan diteruskan tertakluk kepada penyempurnaan proses pengenalpastian, dokumentasi dan verifikasi, selain kesiapsiagaan logistik serta penyelarasan operasi antara Malaysia dan Myanmar.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan Fasa Pertama mencerminkan kesungguhan kerajaan menyelesaikan permasalahan legasi yang telah berlarutan sekian lama secara tegas, tersusun dan berkesan.

“Langkah ini turut memberi isyarat jelas kerajaan serius menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang asing tanpa izin melalui penguatkuasaan undang-undang, penghantaran pulang serta pengurusan dan pendataan yang lebih sistematik.

“Kerajaan Madani kekal komited untuk memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam berasaskan tatakelola yang baik.

“Kedaulatan undang-undang dan negara akan terus dipelihara, manakala keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here