KUALA LUMPUR – Kejayaan Petronas dan rakan usaha samanya memuktamadkan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia mencerminkan kepercayaan komuniti antarabangaa terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tenaga berskala besar itu membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.

Tambah beliau, pembesaran itu bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Petronas di atas kejayaan itu di samping penghargaan kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada syarikat petroleum Malaysia.
“Saya mengalu-alukan pertemuan bersama PM Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. -MalaysiaGazette
















