Keluarga mangsa tampil memohon bantuan pihak berwajib bagi membawa pulang Alif Azril.

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia dipercayai masih berada dalam kawalan sindiket di Taiwan selepas keluarganya terputus hubungan dengannya sejak 20 September lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, mangsa dipercayai diperdaya untuk ke Taiwan sebelum dipaksa melakukan aktiviti jenayah bagi pihak sindiket.

Katanya, keluarga mangsa kini bimbang keselamatannya selepas dia sempat menghubungi mereka dan memohon bantuan untuk diselamatkan sebelum hubungan terputus.

“Lebih membimbangkan, keluarga turut mendakwa sindiket meminta wang tebusan sebanyak RM7,000 sebagai syarat untuk membebaskan mangsa.

“Selepas hubungan terakhir pada 20 September, keluarga tidak lagi dapat menghubunginya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hishamuddin Hashim bersama keluarga mangsa baru-baru ini.

Hishamuddin berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Alif Azril, 22, dari Kota Tinggi, Johor, yang dipercayai dibawa ke Taipei pada 17 September bersama seorang rakan dan individu yang didakwa bertindak sebagai ejen.

Menurutnya, Alif pada awalnya dimaklumkan perjalanan itu adalah untuk bercuti, namun setibanya di Taiwan dia didakwa dipaksa bekerja, manakala pasport dan wangnya dipercayai dirampas.

Beliau berkata, mangsa juga dipercayai berisiko dipaksa menjadi ‘runner’ bagi melakukan pengeluaran wang menggunakan kad ATM untuk pihak sindiket.

“Kalau mangsa dipaksa melakukan jenayah, kita bimbang dia akhirnya ditahan pihak berkuasa Taiwan dan berdepan tindakan undang-undang, sedangkan dia sendiri mungkin berada dalam keadaan dikawal dan dieksploitasi.

“Sebab itu tindakan mengesan dan menyelamatkannya tidak boleh ditangguhkan,” ujarnya.

Hishamuddin berkata, semakan dengan pihak konsular Malaysia di Taiwan mendapati mangsa tidak berada dalam tahanan pihak berkuasa negara itu, menimbulkan kebimbangan bahawa dia masih berada di bawah kawalan sindiket.

Katanya, MHO turut menerima maklumat mengenai kemungkinan penglibatan individu dari Malaysia yang dipercayai merekrut dan membawa mangsa ke Taiwan.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat penglibatan mana-mana ejen atau pihak yang berada di belakang kegiatan ini.

“Yang penting sekarang ialah memastikan mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.

Hishamuddin turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa, khususnya di sekitar Taipei, supaya segera tampil membantu usaha mengesannya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here