Sembilan daripada 15 ahli sindiket yang didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan terlibat penipuan dalam talian

JOHOR BAHRU – Seramai 15 ahli sindiket termasuk lima warga China masing-masing didenda RM3,500 dan RM4,200 serta enam bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan terlibat penipuan dalam talian, minggu lalu.

Tertuduh, Liew Ming Hui, 23; Chong Yong Xuan, 25; Gan Kai Lin, 20; Gan Wei Xiang, 23; Myles Tan Yi, 21; Eldrick Tan Chin Lim, 24; Tan Hong Wei, 23; Dennis Chong Wen Wei, 26, dan Chuah Kian Wei, 21, yang semuanya lelaki tempatan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Semua tertuduh yang mempunyai pekerjaan tetap kemudian membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh secara bersama-sama didakwa atas pertuduhan melakukan penipuan dalam menawarkan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah unit di alamat D21-03 Impiana@East Ledang, Nusajaya, 79250 di sini pukul 5.30 petang, pada Jumaat lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B(1) kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kesemua tertuduh, namun peguam Gan Shee Cheng yang mewakili kesemua tertuduh merayu agar hukuman denda dikurangkan.

Shee Cheng dalam rayuannya berkata, ini kerana anak guamannya hanya berkerja sebagai pelayan restoran, kerja renovasi rumah, operator kilang, pekerja kedai kopitiam, kedai telefon dan ejen hartanah.

Antara tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini yang didakwa atas pertuduhan penipuan dalam talian

Jelasnya, mereka hanya berpendapatan antara RM1,600 hingga RM2,500 sebulan selain ada di antara mereka menanggung ibu bapa yang uzur dan strok selain mempunyai anak serta isteri tidak bekerja.

Nurzihan kemudian memerintahkan masing-masing didenda RM3,500 dan enam bulan penjara jika gagal membayarnya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, seorang lelaki tempatan, Yau Chin Lin, 33; serta lima warga China, Dong Ningning, 34; Chen Haihui, 40; Wang Mengnan, 34; Li Xing, 28 dan Sun Qixin, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin terhadap mereka.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,200 setiap seorang atau enam bulan penjara, jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua mereka melakukan kesalahan yang sama didakwa dilakukan di dua buah unit rumah berasingan di East Ledang Nusajaya, Iskandar Puteri di sini, pukul 5.30 petang dan 2.40 petang, 25 September lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Chuah Shyue Chien yang mewakili tertuduh, memohon hukuman denda yang ringan memandangkan semua lelaki itu mempunyai tanggungan keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh.

Semua tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here