KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter bagi laluan Batu Caves-Pulau Sebang terjejas selepas Alat Talian Atas (ATA) 25 kilovolt (kV) terputus antara Stesen Batang Benar dan Stesen Labu dekat sini pagi tadi.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, kejadian berlaku pada 6.24 pagi tadi sehingga menyebabkan beberapa perkhidmatan mengalami kelewatan manakala sebahagian tren terpaksa ditamatkan lebih awal bagi membolehkan kerja pemeriksaan serta pemulihan dilaksanakan dengan selamat.
“Keadaan tersebut telah menjejaskan bekalan kuasa bagi operasi tren di laluan berkenaan menyebabkan beberapa perkhidmatan mengalami kelewatan dan sebahagiannya terpaksa ditamatkan lebih awal bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan serta pemulihan dilaksanakan dengan selamat,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut KTMB, susulan gangguan berkenaan, beberapa pelarasan operasi dilaksanakan membabitkan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter.
Bagi perkhidmatan ETS, tren EP9532 dari Johor Bahru Sentral ke Kuala Lumpur Sentral akan ditamatkan di Stesen Seremban sebelum penumpang meneruskan perjalanan menggunakan bas ke Kuala Lumpur Sentral dan stesen perantara.
Sementara itu, penumpang tren EP9523 dari Kuala Lumpur Sentral ke Johor Bahru Sentral akan dibawa menggunakan bas ke Stesen Seremban sebelum menyambung perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Para penumpang ETS akan menaiki bas perantara yang disediakan di KL Sentral, Bandar Tasik Selatan dan Kajang untuk dibawa ke Stesen Seremban sebelum menyambung perjalanan dengan perkhidmatan tren ETS,” katanya.
Bagi perkhidmatan KTM Komuter pula, tren No. 2008 dari Pulau Sebang ke Batu Caves ditamatkan di Stesen Seremban dan penumpang digalakkan menggunakan pengangkutan alternatif untuk meneruskan perjalanan.
“Tren No. 2006 dari Pulau Sebang ke Batu Caves pula ditamatkan di Stesen Labu sebelum berpatah balik ke Stesen Seremban.
“Bagi penumpang tren No. 2012 dan 2014 dari Pulau Sebang ke Batu Caves, dua set komuter digerakkan ke Stesen Kajang dan Bangi bagi mengambil penumpang dari stesen berkenaan sebelum menuju ke stesen-stesen di antaranya sehingga Stesen Batu Caves,” tambahnya.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada animal bridging iaitu keadaan apabila haiwan menjadi penghubung antara talian elektrik hidup dengan talian bumi.
Pasukan teknikal kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemulihan di lokasi kejadian bagi membolehkan perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa dalam kadar segera.
“Apabila haiwan menyentuh kedua-duanya secara serentak, ia boleh mewujudkan laluan arus elektrik yang tidak sepatutnya, sekali gus mencetuskan gangguan pada sistem perlindungan dan bekalan elektrik ATA,” jelasnya.
Sehubungan itu, KTMB berkata, penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat gangguan itu akan diberikan pemulangan tambang penuh tertakluk kepada prosedur yang berkuat kuasa.
KTMB turut menasihatkan penumpang merancang perjalanan masing-masing dan mendapatkan maklumat terkini menerusi saluran rasmi KTMB termasuk media sosial rasmi KTMB serta kakitangan stesen yang bertugas.
“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan,” katanya. – MalaysiaGazette















