KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mungkin mampu meyakinkan barisan menteri dari UMNO dalam Kabinet serta ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mafia korporat.
Naib Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata demikian menjawab gesaan Dr Akmal yang mahu mereka menghentikan demonstrasi sebaliknya mendesak menteri dari PH menubuhkan RCI berkenaan.
“Gesaan penubuhan RCI berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya telah dibangkitkan secara konsisten oleh kepimpinan tertinggi DAP termasuk Setiausaha Agung, Pengerusi, barisan menteri serta ahli Parlimen parti itu.
“Jika saudara Dr Akmal mahu turut bersama mendesak penubuhan RCI mafia korporat, saya yakin saudara berupaya menyokong usaha murni ini demi manfaat semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Jelasnya, orang ramai melihat usaha memerangi rasuah dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi-institusi penting negara sebagai perkara yang perlu diperjuangkan melangkaui jalur kepartian.
Dalam pada itu, Raja Ahmad Iskandar turut menyatakan penghargaan atas perkongsian gambar oleh Dr Akmal bersama kepimpinan DAPSY ketika menyuarakan isu berkenaan sebelum ini.
“Terima kasih saudara Dr Akmal kerana kongsikan gambar saya bersama-sama rakan-rakan DAPSY ketika kami menggesa penubuhan RCI mafia korporat.
“Semoga lebih ramai pembaca mendapat kesedaran berkenaan hal ini,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Dr Akmal berkata, DAPSY tidak perlu berdemonstrasi menuntut RCI berhubung mafia korporat sebaliknya hanya perlu meminta menteri yang terlibat untuk menangkap golongan berkenaan.
“Menteri Dalam Negeri adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP turut menganggotai Pakatan Harapan. DAPSY sepatutnya meminta menteri dari DAP buat kerja supaya mafia korporat ditangkap.
“Ni demo nak cakap menteri dan kerajaan kamu tidak buat kerja ke? Ke kamu masih nak berlakon jadi pembangkang?” soalnya.
Dalam nada sinis, Dr Muhamad Akmal memberi peringatan bahawa rakyat akan menentukan kedudukan mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Tidak mengapa, seluruh rakyat Malaysia akan jadikan kamu pembangkang pada PRU yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tak perlu turun demo, minta sahaja menteri kamu buat kerja – Dr Akmal
















Apa kata siasat ah loke dulu.