KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan kini berdepan persepsi seolah-olah tidak berfungsi susulan kemelut institusi dan pentadbiran yang berpanjangan, kata PKR Negeri Sembilan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keadaan itu bukan sahaja menyentuh persoalan Perlembagaan dan institusi diraja malah menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, ketidaktentuan berkaitan kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
“Keadaan semasa menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian yang berpanjangan,” katanya menerusi kenyataan media PKR Negeri Sembilan hari ini.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga berkata, walaupun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat.
Katanya, urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan serta pindah milik tanah dan pelaksanaan projek berpotensi terkesan akibat kemelut berkenaan, sekali gus boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan menyukarkan urusan pemilik tanah serta peniaga.
“Kerajaan negeri perlu memastikan wujudnya kejelasan tentang kuasa membuat keputusan, tanggungjawab setiap pihak dan kesinambungan pentadbiran. Kepentingan rakyat mesti mengatasi sebarang kepentingan politik atau pertimbangan peribadi,” katanya.
Aminuddin turut menegaskan pelantikan dan fungsi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ahli majlis tidak boleh terus tergantung kerana kedua-duanya merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin politik mengutamakan kebijaksanaan, mengelak kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberikan ruang kepada proses Perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku. – MalaysiaGazette















