KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak pernah memaksa mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dengan parti gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, ia berbeza dengan pendekatan BN yang sentiasa terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti.
“Kena tanya dia (Khalid Samad). Kita tak pernah keluar apa-apa kenyataan. Kalau dia tak nak kerja sama itu hak dia, itu parti dia bukan parti kita.
“Kita sentiasa terbuka,” katanya kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran MATEC 2026 di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad bahawa PH tidak akan bersama dengan BN dan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRN Melaka Ke-16.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas beberapa pemimpin PH dan Bersatu Melaka menghadiri majlis makan malam tertutup di sebuah hotel di Melaka malam kelmarin.
Pertemuan itu mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan bermulanya rundingan awal kerjasama menjelang PRN Melaka.
Antara pemimpin PH yang hadir ialah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abdul Halim, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Ashraf Mukhlis Minghat serta Pengerusi DAP negeri, Khoo Poay Tiong.
Bersatu pula diwakili Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Datuk Seri R. Sanjeevan dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Namun Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzi mengesahkan tiada perbincangan rasmi mengenai kerjasama dengan Bersatu) di sebalik pertemuan pemimpin kedua-dua pihak itu.
Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai kerjasama politik akan diputuskan melalui majlis presiden gabungan itu. – MalaysiaGazette















