Gambar hiasan.

KAJANG – Seorang lelaki tempatan yang menyerang anggota polis menggunakan pisau di perkarangan Balai Polis Batu 9 Cheras yang berjaya ditahan pada tiga hari lalu akan didakwa hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof, berkata suspek berusia 54 tahun dan tidak bekerja itu ditahan pada jam 12.10 tengah malam.

Beliau berkata, suspek sebelum itu memasuki kawasan balai berkenaan dipercayai untuk membuat laporan polis sebelum bertindak mengeluarkan sebilah pisau dari kotak simpanan motosikal.

Naazron berkata, suspek kemudian berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

“Suspek bertindak menikam ke arah bahagian kanan perut anggota polis yang bertugas, namun serangan itu sempat dielak dan mata pisau terkena tali pinggang anggota berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, pergelutan tersebut turut menyebabkan seorang lagi anggota polis yang datang memberikan bantuan mengalami kecederaan pada kedua-dua tapak tangan.

“Suspek yang mempunyai masalah keluarga dan kemurungan itu kemudiannya berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan yang turut menyebabkan seorang lagi anggota polis yang memberi bantuan mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tapak tangan,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Jelas Naazron, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan di Mahkamah Kajang pada 30 September 2026.

Terdahulu media melaporkan seorang anggota polis nyaris maut apabila cuba ditikam seorang lelaki ketika mangsa membuka pintu pagar Balai Polis Batu 9 pada 26 September lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here