KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,600 kenderaan buruk dan usang ditunda dari kawasan bandar serta kediaman sekitar ibu negara sehingga Ogos lalu meningkat berbanding 1,300 kenderaan sepanjang tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha menangani kenderaan buruk tidak boleh hanya dilakukan menerusi tindakan menunda kerana langkah itu sekadar memindahkan masalah dari kawasan awam ke depo.

Justeru pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan bermula daripada mengenal pasti dan menunda kenderaan, mempercepatkan proses undang-undang bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga kepada proses pelupusan.

“Kenderaan buruk tidak hilang hanya kerana ia ditunda. Kalau kita sekadar memindahkannya dari petak parkir ke depo, masalah itu cuma berpindah tempat.

“Sebab itu kita mahu selesaikan isu ini dari awal sampai akhir, daripada mengenal pasti dan menunda kenderaan, mempercepatkan proses undang-undang bersama JPJ sehinggalah kepada pelupusan supaya ruang parkir dapat dikembalikan kepada warga kota,” katanya menerusi kenyataan.

Hannah berkata, kira-kira 15 kenderaan dikeluarkan setiap hari dari kawasan bandar dan kediaman menerusi operasi berkenaan.

Beliau berkata, Depo Kenderaan Buruk Sentul kini menempatkan lebih 900 kenderaan usang dan buruk yang ditunda sejak 2015.

“Keadaan ini menunjukkan dengan jelas bahawa menarik kenderaan sahaja tidak mencukupi,” katanya.

Menurutnya, sejak Car Medic membantu proses berkenaan pada April lalu, sebanyak 194 kenderaan dilupuskan secara sukarela oleh pemilik.

Sehubungan itu ujar Hannah, usaha itu akan diteruskan dengan lebih kerap dan pantas bagi memastikan kenderaan buruk tidak terus memenuhi ruang parkir yang boleh dimanfaatkan warga kota.

“Kita tidak mahu sekadar memindahkan masalah. Kita mahu selesaikannya sampai habis dan pulangkan semula ruang itu kepada warga kota,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here