Tular lima klip video memaparkan seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak agresif termasuk cubaan melarikan seorang kanak-kanak perempuan enam tahun sebelum ditahan orang awam dan menyerahkanya kepada polis di Ayer Molek, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Lelaki yang ditahan selepas didakwa cuba melarikan kereta dan seorang kanak-kanak perempuan di Ayer Molek di sini malam tadi disahkan mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan Halim Abas berkata, suspek tempatan berusia 36 tahun itu turut didapati positif tetrahydrocannabinol (THC) menerusi ujian saringan awal air kencing.

Suspek ditahan anggota kereta peronda (MPV) Melaka Tengah kira-kira jam 8.20 malam tadi selepas polis menerima maklumat mengenai lelaki berkenaan yang bertindak agresif dan mengganggu orang awam.

“Dalam kejadian pertama kira-kira 8 malam, suspek yang dalam keadaan berbogel dilihat memasuki sebuah kenderaan milik pengadu yang diletakkan di halaman rumah di Taman Ayer Molek.

“Pengadu kemudian meminta anak lelakinya keluar dari kenderaan sebelum menarik suspek keluar namun lelaki itu bertindak agresif dan enggan beredar dari kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Halim berkata, dalam kejadian berasingan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sama, seorang lelaki bersama isteri dan anak perempuan berusia dua tahun terserempak dengan suspek di kawasan simpang Taman Ayer Molek.

“Suspek didakwa cuba merampas telefon bimbit milik isteri pengadu sebelum memegang anak perempuan mereka.

“Pengadu cuba mendapatkan semula anaknya sehingga berlaku sedikit pergelutan sebelum orang awam membantu mengawal suspek sementara menunggu kehadiran polis,” tambahya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum dibawa ke Balai Polis Tiang Dua untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif THC.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Kes kdisiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 324 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Halim berkata, permohonan reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini hingga 6 Oktober depan dibuat bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan individu yang bertindak agresif atau mencurigakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here