KUALA LUMPUR – MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 menyasarkan jualan sebanyak RM60 juta sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 27 November depan yang akan berlangsung Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, edisi kali ketiga itu bakal menjadi platform kepada 220 pempamer yang menghimpunkan usahawan, pemain industri, graduan TVET, institusi kewangan, agensi kerajaan serta komuniti automotif dalam satu platform yang menggabungkan peluang perniagaan, pembangunan bakat dan teknologi.
Katanya, MATEC 2026 yang bertemakan ‘Drive the Future’ memberi fokus kepada tiga aspirasi utama iaitu Automotif Masa Depan, Kecemerlangan TVET dan Mobiliti Elektrik bagi memperkukuh rantaian nilai industri automotif Bumiputera.
“Berbeza daripada penganjuran sebagai acara automotif semata-mata, MATEC 2026 dirangka sebagai platform yang membuka lebih banyak ruang kepada usahawan Bumiputera untuk membina jaringan, meneroka peluang perniagaan serta bergerak ke segmen rantaian nilai industri yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
“Bagi merealisasikan hala tuju tersebut, MATEC 2026 distrukturkan menerusi lima teras utama di mana teras keusahawanan memfokuskan kepada sesi padanan perniagaan, program pembangunan vendor dan peluang francais manakala teras teknologi membawakan pameran kenderaan elektrik (EV), mobiliti pintar, serta aplikasi AI dalam sektor automotif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra Pelancaran MATEC 2026 yang berlangsung di Lobi Busana MARA Kuala Lumpur hari ini.

Asyraf Wajdi menambah, penganjuran kali ini turut merangkumi platform jaringan strategik bersama agensi kerajaan dan pemain industri, program pembangunan bakat TVET menerusi sesi temuduga terbuka dan pertandingan kemahiran serta tumpuan kepada pertumbuhan industri mampan melalui pameran ekonomi kitaran dan zon mobiliti hijau.
Sementara itu, MATEC 2026 turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik seperti Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Perbadanan Stadium Malaysia, PETRONAS, Mannol, Bateriku, PMH, GGR Legacy, Bubbles O2, Celcom Digi, Nabilah Bahrin Group (Kak Nab), ZK Racing, MAMEE, Pro Apparel, Ustaz Gadget, ADXTG Rider Malaysia, XMAX Owner Club Malaysia, GRT Motorsport dan VesprintKL.
Selain pengisian korporat dan industri, para pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai tarikan gaya hidup.
Antara aktiviti luar yang dirancang termasuk perhimpunan Campervan dan Motorhome, pertunjukan kereta modifikasi, aksi drift, serta Fantastic Food Festival by KakNab.
Bagi aktiviti dalaman, pengunjung berpeluang menyertai pameran Diecast, Tamiya Mini 4WD, RC Play, simulator lumba kereta, zon e-sukan serta sesi temuduga terbuka kerjaya. – MalaysiaGazette

















