Gambar yang dirakam pada 20 September 2026 dan dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Korea Utara, Korean Central News Agency (KCNA) pada 22 September 2026, menunjukkan Kim Jong Un, bersama anak perempuannya, Kim Ju Ae, menghadiri ujian senjata baharu yang dijalankan oleh Pentadbiran Peluru Berpandu dan Akademi Sains Pertahanan di lokasi yang dirahsiakan di Korea Utara.

 

SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dipercayai mengalami masalah obesiti pada tahap “amat tinggi”, menurut agensi perisik Korea Selatan pada Rabu berdasarkan penilaian terbaharu mengenai kesihatan pemimpin negara tersebut.

Jong-Un, yang merupakan perokok tegar dan telah lama mengalami masalah berat badan berlebihan, menjadi perhatian masyarakat antarabangsa berikutan kebimbangan mengenai kesihatannya yang boleh mencetuskan persoalan mengenai peralihan kuasa dan kestabilan negara bersenjata nuklear itu sekiranya berlaku kematian mengejut.

“Keadaan kesihatannya diklasifikasikan sebagai amat obes, dengan berat melebihi 140 kilogram (kira-kira 310 paun),” kata Ahli Parlimen Youn Kun-young yang memetik maklumat daripada agensi perisik Korea Selatan.

Menurut Youn, Jong-Un berdepan “risiko tinggi penyakit kardiovaskular”, namun tidak menunjukkan kesukaran melakukan aktiviti fizikal termasuk berlari menaiki tangga.

“Berdasarkan pemantauan rapi pasukan perubatan khasnya, tiada tanda-tanda masalah kesihatan dikesan,” katanya.

Spekulasi mengenai kesihatan Jong-Un tercetus pada 2020 apabila beliau tidak menghadiri acara memperingati ulang tahun kelahiran datuknya dan menghilang daripada perhatian umum selama kira-kira 20 hari.

Keadaan itu mencetuskan khabar angin bahawa beliau mengalami masalah kesihatan serius selepas menjalani pembedahan.

Bapa Kim, Kim Jong Il dan datuknya, Kim Il Sung, turut mempunyai masalah obesiti serta merupakan perokok tegar. Kedua-duanya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Korea Utara kini berdepan pelbagai sekatan antarabangsa berhubung program senjatanya selain telah lama bergelut dengan ekonomi yang lemah di bawah sistem pengurusan negara serta kekurangan makanan secara berterusan.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di Korea Utara, Elizabeth Salmon, berkata pada Februari lalu bahawa kekurangan makanan merupakan antara kebimbangan utama dari sudut kemanusiaan di negara itu.

Bagaimanapun, cef eksekutif Hotel Metropole Hanoi, Paul Smart, yang pernah bekerja dengan cef peribadi Jong-Un ketika sidang kemuncak Korea Utara-Amerika Syarikat pada 2019 berkata, pemimpin Korea Utara itu mempunyai selera terhadap daging berkualiti tinggi dan makanan mewah.

Menurut Smart, berdasarkan maklumat daripada dua cef peribadi Jong-Un yang kedua-duanya bernama Kim, pemimpin Korea Utara itu mempunyai cita rasa terhadap makanan yang mahal.

“Dia suka kaviar, udang kara dan produk yang benar-benar mewah. Foie gras juga sangat digemarinya dan dia benar-benar suka menikmati hidangan mewah,” katanya pada 2019. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here