KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sehingga lewat petang ini, sehari selepas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Perkara itu disahkan kepada MalaysiaGazette selepas menghubungi setiausaha akhbar bekas perdana menteri itu, Sufi Yusoff, petang tadi.
Bagaimanapun, Sufi tidak memperincikan keadaan terkini Dr. Mahathir.
Tinjauan MalaysiaGazette di luar pekarangan IJN sejak petang tadi mendapati suasana di hospital berkenaan kelihatan tenang seperti biasa, namun beberapa pengamal media masih berada di lokasi bagi mengikuti perkembangan terkini Tun Mahathir.
Dr. Mahathir, 101, dimasukkan ke IJN pada kira-kira jam 9 malam semalam untuk pemerhatian, selepas selesai menghadiri majlis tahlil yang diadakan di kediamannya.
Anak pasangan itu, Tan Sri Mokhzani Mahathir, sebelum ini memaklumkan, bapanya dibawa ke IJN untuk pemerhatian selepas melalui tempoh yang mencabar susulan pemergian ibunya.
Beliau turut memaklumkan keadaan Dr. Mahathir ketika itu baik dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan.
Allahyarham Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafasnya yang terakhir di IJN pada jam 9.20 pagi, semalam pada usia 100 tahun.
Jenazah Tun Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada petang hari sama menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Pemergian Tun Siti Hasmah menamatkan perjalanan rumah tangga pasangan itu yang dibina selama 70 tahun, sejak 5 Ogos 1956. – MalaysiaGazette
















