KLANG – Banjir kilat sedalam paras pinggang memaksa tujuh anggota bomba berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer (km) untuk menyelamatkan tujuh mangsa termasuk empat kanak-kanak yang terperangkap di kawasan perumahan Taman Rashna, di sini, awal malam ini.

Lebih mencemaskan, jentera bomba tidak dapat memasuki lokasi kejadian berikutan paras air yang tinggi, menyebabkan anggota terpaksa meneruskan operasi dengan berjalan kaki bagi memastikan semua mangsa berjaya dikeluarkan ke tempat selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di 9, Jalan Keris 12, Kawasan 16, Taman Rashna di sini, jam 7 malam.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian, namun keadaan banjir menyebabkan jentera tidak dapat memasuki kawasan perumahan terbabit.

“Komander operasi melaporkan setibanya di lokasi, didapati banjir berada pada paras pinggang.

“Jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi kerana paras air tinggi dan anggota terpaksa berjalan kaki sejauh 2 km untuk sampai ke kawasan perumahan yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, operasi menyelamat membuahkan hasil apabila kesemua tujuh mangsa berjaya ditemukan dan dibawa ke tempat selamat pada jam 7.42 malam.

“Mangsa terdiri daripada tiga orang dewasa iaitu seorang lelaki dan dua wanita, manakala empat lagi adalah kanak-kanak membabitkan seorang lelaki dan tiga perempuan,” katanya.

Katanya lagi, operasi berkenaan membabitkan tujuh anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Operasi menyelamat dilaksanakan susulan keadaan banjir kilat yang menjejaskan kawasan perumahan berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here