Mayat Mohammed Seyar Musazay, 55 dibawa keluar ke Teluk Gading sebelum ke HTAA, Kuantan untuk bedah siasat esok.

ROMPIN – Percutian dua beranak warganegara Afghanistan ke Pulau Tioman bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia akibat lemas ketika melakukan aktiviti pengenalan selaman skuba (DSD) hari ini.

Mangsa, Mohammed Seyar Musazay, 55, bersama anaknya yang baru menamatkan pengajian telah bercuti di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Tioman sejak tiga  hari lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian dilaporkan kira-kira jam 11.30 pagi di perairan Kampung Salang, di sini.

“Mangsa dan anaknya dilaporkan melakukan aktiviti DSD bersama seorang jurulatih selam di perairan itu bermula jam 11 pagi tadi.

“Difahamkan, selepas kira-kira 20 minit menyelam dan pada kedalaman 6 meter, mangsa berada dalam keadaan baik.

“Namun ketika aktiviti itu hampir selesai, jurulatih selam yang bersama mereka ketika itu melihat mangsa terkapai-kapai naik ke permukaan air kira-kira 3 meter darinya,” katanya dalam kenyataan.

Tangkap layar klip video rakaman anak mangsa ketika jurulatih selam memeriksa keadaan mangsa ketika melakukan aktiviti selaman di Pulau Tioman

 

Menurut Sharif Shai, jurulatih berkenaan membantu anak mangsa yang berusia 24 tahun terlebih dahulu timbul ke permukaan sebelum menyedari situasi dihadapi mangsa.

Sebaik jurulatih itu mendekati mangsa, beliau berkata, regulator pernafasan pada mulut mangsa didapati tercabut dan mangsa sudah tidak sedarkan diri.

“Seterusnya, mangsa dibawa naik ke pantai dan dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek menaiki bot orang kampung.

“Pegawai Perubatan bertugas bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira jam 12.40 tengah hari,” katanya lagi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa keluar ke Teluk Gading menaiki bot Polis Marin dan terus dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here