KUALA LUMPUR – Kira-kira 400 peserta dijangka berentap dalam ‘PREC Beyblade Battle’ yang akan diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, esok.
Acara anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dengan tajaan SACC Digital Planet melalui kerjasama Top Blader itu mempertaruhkan hadiah wang tunai dan set beyblade berjumlah hampir RM3,000.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pertandingan itu diwujudkan bagi menggalak ibu bapa dan kanak-kanak melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di pusat beli-belah berkenaan.
Katanya, ia bertujuan mengasah bakat kanak-kanak untuk bersaing secara sihat selain mengalihkan perhatian mereka daripada menonton televisyen dan bermain telefon pintar.
“Sebelum ini kami pernah mengadakan pertandingan beyblade sewaktu pelancaran SACC Walk Flea Market dan sambutan diterima amat memberangsangkan.
“Kami ingin meneruskan lagi acara beyblade ini bagi memberi peluang kepada kanak-kanak lain untuk mempamerkan aksi mereka di gelanggang,” katanya menerusi kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















