Reaksi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (dua kiri) semasa hadir pada sidang media mengenai Festival Putrajaya LIFT 2019 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 12 DISEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung langkah bank pelaburan Goldman Sachs Group Inc yang dilaporkan mahu menyelesaikan siasatan jenayah dan pengawalseliaan atas peranannya mengumpul dana bagi 1MDB dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan tidak tahu menahu tentang perkara berkenaan sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa Bloomberg.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap bertegas akan meneruskan tindakan jenayah yang diambil terhadap bank pelaburan tersebut kerana ia membabitkan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia itu.

“Saya telah berhubung dengan pihak Peguam Negara dan beliau mengatakan bahawa kes ini dijangka didengar dibicarakan pada pertengahan tahun depan.

“Jadi, kes ini masih lagi dalam perbicaraan. Kita tidak ada dapat sebarang maklumat dan kerajaan Malaysia masih menuntut pembayaran sehingga AS$7.4 bilion,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Guan Eng menegaskan, tuntutan tersebut adalah sebagai balasan ke atas kerugian yang dialami oleh kerajaan daripada skandal 1MDB hanya daripada Goldman Sachs Group Inc sahaja.

Beliau mengulangi bahawa tidak ada sebarang pertemuan dibuat terhadap perkara tetrsebut dan kerajaan tetap akan meneruskan tindakan mahkamah yang telah diambil.

Baru-baru ini, Bloomberg melaporkan bahawa Goldman Sachs Group Inc mungkin membayar tidak melebihi AS$2 bilion (RM8.32 bilion) untuk menyelesaikan siasatan jenayah dan pengawalseliaan atas peranannya mengumpul dana bagi 1MDB.

Pendedahan itu dibuat oleh tiga individu yang mengetahui rundingan berkenaan.

Mereka berkata, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan agensi persekutuan lain menerusi rundingan dalaman yang diadakan beberapa minggu ini, mempertimbangkan untuk mengenakan penalti antara AS$1.5 hingga AS$2 bilion.

Malah menurut laporan berkenaan, jumlah itu kurang daripada jangkaan sesetengah penganalisis.

Walaupun penyelesaian mungkin diumumkan seawal bulan depan, syarat itu mungkin berubah sebelum perjanjian dimuktamadkan, kata individu yang tidak mahu dikenali mengenai rundingan sulit itu.

Sebahagian besar penalti itu akan dibayar kepada DoJ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast