Ketua pegawai perbadanan menghadap pertuduhan memiliki item-item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE

ALOR GAJAH – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memindahkan kes seorang ketua pegawai perbadanan atas pertuduhan memiliki item-item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE, ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.

Mohd Izhanudin dalam hujahannya berkata seksyen berkenaan memperuntukkan kesemua kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, peguam Melvin Tay yang mewakili S. Chandru, 38, pada prosiding sebutan semula kes itu membantah permohonan pihak pendakwaan dan meminta mahkamah membenarkan kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi Melaka berikutan tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka.

Mahkamah kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 29 Okt lepas Chandru didakwa memiliki item-item itu di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A10 warna biru hitam di No 15, Lot 1802, Kampung Bukit Balai di sini pada 10.20 pagi, 12 Okt lepas.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast