Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi bercakap semasa sidang media pada Majlis Perasmian Outlet Tealive di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP) Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia diminta menghentikan sikap melakukan pembelian panik yang akhirnya menyebabkan pengguna lain tidak dapat membeli barangan keperluan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, kehabisan stok itu bukan satu isu seandainya para pengguna berhenti membeli barangan terutamanya keperluan asas dengan jumlah yang  banyak.

Alexander yang baharu sahaja mula menerajui KPDHEP, berkata, pembelian panik sebenarnya bukan satu keperluan mendesak ketika ini, apatah lagi kedai-kedai yang menjual keperluan dibuka seperti biasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tolong, kita mahu beritahu pengguna supaya tidak perlu ‘panic buying’ ini, kerana tindakan ini juga menyebabkan yang lain-lain juga terkesan serta melakukan yang sama.

“Janganlah beli terlampau banyak dan simpan stok, tidak ada keperluan seperti itu pada masa kini. Kita akan memastikan stok sentiasa mencukupi juga mengharapkan kerjasama peruncit.

“Bila semua panik dan mula membeli stok berlebihan daripada biasa itu juga menyebabkan yang lain-lain tidak dapat membeli barangan asas pada masa itu. Kena tunggu peruncit untuk ‘stock up’ balik barang-barang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebentar tadi selepas merasmikan Tealive jenama teh gaya hidup masa kini yang pertama di bangunan kementerian ini sebentar tadi.

Sejak hujung minggu lalu sehingga semalam, pasar raya, pasar dan kedai runcit diserbu orang ramai yang membeli stok makanan dan keperluan rumah secara melampau.

Ini berlaku selepas tersebarnya mesej yang mengatakan Malaysia akan melaksanakan perintah berkurung akibat penularan wabak Covid-19, sekali gus menyebabkan kebanyakan pasaraya, pasar dan kedai runcit kehabisan bekalan.

Bagaimanapun ketika diasak oleh pemberita berkali-kali, Alexander masih tidak dapat menjawab dengan cukup menyakinkan bahawa kerajaan dapat memberikan jaminan bahawa stok makanan mencukupi.

Sebaliknya kata beliau, seandainya pembeli tidak membeli dengan banyak maka isu tersebut dalam kawalan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast