JAKARTA- Yayasan Syamsi Dhuha, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang mewakili penderita penyakit auto-immune menggesa kerajaannya memberi lebih perhatian kepada kumpulan pesakit berkenaan yang lebih terdedah kepada bahaya Covid-19.
Jelasnya, kos perubatan juga melonjak semasa wabak yang sama.
Bagi memperingati Hari Lupus Sedunia pada 10 Mei lalu dan Hari Auto-Immune Sedunia pada 20 Mei, SDF menggerakkan usaha meraih sokongan dan kesedaran daripada orang ramai mengenai penyakit berkenaan melalui kempen #ShareOurLove.
Menurut Pengerusinya, Dian Syarief, penderita penyakit auto-immune ketika ini menghadapi cabaran luar biasa kerana harga ubat-ubatan bagi penyakit berkenaan seperti hydroxychloroquine (HCQ) melonjak kerana ia juga digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.
“Harga HCQ melonjak 100 peratus. Kami berharap kerajaan boleh mengawal harga ubat tersebut pada kadar yang masih boleh dibeli oleh pesakit.
“Ini juga berlaku terhadap ubat-ubatan utama untuk pesakit auto-immune juga,” katanya kepada Jakarta Post.
Menurut Dian pesakit memerlukan sebiji atau dua pil HCQ sehari bagi mengurangkan sakit sendi manakala ubat seperti corticosteroids pula digunakan untuk meningkatkan hormon steroid dalam badan, melegakan inflamasi dan meringankan kerja-kerja sistem kekebalan.
Tambahnya, Indonesia tidak mampu mengeluarkan HCQ sendiri sehingga akhir 2019 apabila bekalan ubat tersebut di dalam negara dijual pada harga Rp11,000 (RM3.20) hingga Rp13,000 (RM3.70) sebiji.
“Sejak Covid-19 melanda, harga ubat tersebut terus melonjak hampir Rp22,000 (RM6.40).- MalaysiaGazette
















