LONDON – Cineworld, pengendali pawagam kedua terbesar di dunia, akan menutup semua operasinya di United Kingdom dan Ireland pada minggu depan, lapor Sunday Times.

Pemilik pawagam itu dikatakan telah menulis surat kepada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan Menteri Kebudayaan, Oliver Dowden untuk memaklumkan industri ini tidak berdaya maju selepas syarikat-syarikat yang menghasilkan filem mahu menangguhkan penghasilan filem dengan anggaran besar, kata akhbar itu.

Filem James Bond yang baharu, No Time To Die, menjadi blockbuster terbaharu yang akan dilancarkan tahun depan ketika industri filem berjuang untuk kembali berniaga di tengah-tengah wabak koronavirus.

Cineworld enggan mengulas mengenai laporan Sunday Times.

Syarikat itu beroperasi semula dari bulan Julai , membuka sejumlah 128 panggung dan 1,180 layar di United Kingdom dan Ireland.

Cineworld menjangka mengumumkan rancangannya Isnin ini, yang dikhuatiri memberi risiko kepada 5,500 pekerja, kata laporan itu.

“Sekiranya kerajaan mengetatkan peraturan perhimpunan sosial, oleh itu kita perlu menutup aset kami atau menangguhkan tayangan filem, yang mana ini akan memberi kesan negatif ke atas prestasi kewangan dan mungkin keperluan untuk meningkatkan kecairan tambahan,” kata syarikat pada bulan lalu.

Tayangan filem Black Widow dan West Side Story juga ditangguhkan sehingga 2021.

Usaha untuk menarik penonton kembali ke panggung wayang terbukti mengecewakan.

Walaupun operator yang lebih besar seperti AMC Entertainment, Cineworld dan lain-lain telah beroperasi semula di banyak lokasi, kehadiran orang ramai masih kurang.

Disebabkan itu, syarikat kecil dan sederhana telah memaklumkan mereka mungkin tidak dapat bertahan akibat kesan wabak tersebut.

Sebanyak 12,872 orang di Britain telah diuji positif Covid-19, menjadikan jumlah kes koronavirus di negara ini menjadi 480,017, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pada hari Sabtu.

Kenaikan harian, yang hampir dua kali ganda daripada 6,968 kes pada hari Jumaat, sebahagiannya disebabkan oleh masalah teknikal yang menyebabkan kelewatan dalam melaporkan data sejak seminggu yang lalu, menurut satu kenyataan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast