Khadijah Iskandar

KUALA LUMPUR – Agrobank menyokong inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang memperuntukkan dana berjumlah RM95 juta bagi pembiayaan modal kerja kepada usahawan wanita.

Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, inisiatif tersebut adalah sejajar dengan matlamat bank untuk memberi fokus kepada program menyokong komuniti yang terpinggir dan kurang mendapat liputan.

“Inisiatif ini secara tidak langsung akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan wanita dalam waktu sukar mendepani pandemik Covid-19 ini.

“Kami di Agrobank percaya dengan meningkatkan produktiviti dan modal insan di kalangan wanita, ia akan memberi impak positif untuk pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dalam jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Agrobank turut mengalu-alukan penambahbaikan Bantuan Bayaran Bersasar yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 berkaitan lanjutan moratorium dan bantuan pembayaran balik.

Penambahbaikan itu akan memudahkan bank untuk membantu para pelanggan dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan beban golongan terjejas seperti kelompok B40 dan M40 serta pengusaha mikro yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Kami menghargai usaha Kerajaan dalam memastikan Belanjawan 2021 akan inklusif, bertanggungjawab dan komprehensif ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi yang berterusan dengan mengambil kira kepentingan semua golongan di negara ini sebagai warga negara Malaysia terutamanya dalam menghadapi cabaran dalam situasi semasa ekonomi yang suram pada saat ini,” katanya.

Antara inisiatif Belanjawan 2021 yang memberi manfaat kepada komuniti agro yang melibatkan semua kaum dan segmen adalah:-

  • Kerajaan menyediakan sejumlah RM95 juta menerusi Program Pembiayaan Mikro Kredit Khas khusus untuk memperkasakan usahawan wanita yang akan disalurkan melalui Agrobank dan agensi kerajaan lain
  • Penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang kini meliputi individu kategori B40 dan M40 dan penerima sedia ada Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mempunyai pembiayaan hingga RM150, 000
  • Peruntukan berjumlah RM150 juta di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan yang akan disalurkan melalui Agrobank dan menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada nelayan di zon A dan B untuk menaik taraf peralatan pukat dan kapal.
  • Dana berjumlah RM60 juta untuk Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan yang akan disalurkan melalui Agrobank dan menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada pengusaha pertanian untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan IR 4.0
  • Peruntukan RM30 juta untuk peluasan Program Kebun Komuniti separa bandar dan luar bandar, yang menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan media tanaman bernilai sehingga RM500 untuk setiap individu atau RM50,000 bagi setiap komuniti
  • Pelaksanaan Projek Pertanian Organik di peringkat komuniti dengan peruntukan RM50 juta turut diumum dan dijangka memanfaatkan 1,000 komuniti.
  • Pelaksanaan projek pertanian berimpak dan bernilai tinggi dengan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui kerjasama dengan kerajaan negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan ternakan udang galah di Negeri Sembilan
  • Pelaksanaan Program Pengembangan Akuakultur dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM20,000 kepada pengusaha mikro untuk membeli peralatan bagi mengembangkan ternakan akuakultur bernilai tinggi.

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast