Tony Fernandes menerima Lesen Komuniti Kredit bagi pihak BigPay Later Sdn Bhd daripada Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – BigPay bakal menawarkan lebih banyak perkhidmatan kewangan termasuk pinjaman kredit kepada kumpulan B40 dan M40, terutamanya bagi mereka yang tidak layak untuk perkhidmatan perbankan.

Lesen Kredit Komuniti yang diterimanya dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membolehkan BigPay menyediakan kemudahan pinjaman kepada perniagaan kecil, usahawan dan orang perseorangan dengan kadar yang sangat terjangkau menerusi aplikasi digital BigPay (bigpayme.com) bermula tahun hadapan.

Bigpay adalah bahagian teknologi kewangan (fintech) di bawah Airasia Digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memberi jaminan BigPay akan mematuhi semua syarat, undang-undang dan peraturan yang disediakan oleh KPKT dalam pelaksanaan perkhidmatan kewangan ini.

Menurutnya, dengan lesen berkenaan, BigPay akan menawarkan perkhidmatan kewangan kepada semua termasuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

”AirAsia sentiasa berusaha membantu semua golongan masyarakat dan saya berasa sangat gembira dapat memberikan perkhidmatan pinjaman untuk semua,” kata Tony. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast