Gambar arkib Lim Guan Eng bersama Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng juga membidas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan Pakatan Rakyat (PR) masih wujud di Selangor, ia selepas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution turut mempertikai kenyataan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai tidak munasabah.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu mengingatkan Mohamed Azmin dengan menegaskan gabungan PR sudah berakhir, malah kerajaan Pulau Pinang yang dipimpinnya kini adalah kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dan bukannya PR.

“Kerajaan Pulau Pinang dipimpin Pakatan Harapan. Kami semua sebahagian daripada PH di peringkat nasional dan tiada lagi Pakatan Rakyat; itu sebabnya ada PH,” kata Guan Eng yang dipetik berkata kepada media selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa PR masih wujud bersama dengan PH di negeri tersebut.

Walaupun DAP dan Pas telah memutuskan hubungan antara satu sama lain pada bulan Julai 2015 yang menjurus kepada pembubaran PR, PKR dan Pas masih mengekalkan hubungannya di Selangor dalam kepimpinan kerajaan negeri.

Saifuddin awal hari ini juga membuat teguran sama kepada Mohamed Azmin dengan mengatakan di Selangor tiada lagi PR. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast