Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan pendirian mengenai pelaksanaan dasar Undi 18.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, penjelasan itu dilihat penting selepas Yang di Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dilaporkan berkata dasar berkenaan tidak sesuai dilaksanakan ekoran beberapa kekangan.

Justeru menurut Muda, kerajaan perlu membuktikan komitmen jelas untuk melaksanakan dasar berkenaan.

“Pendirian jelas bermaksud komitmen bertulis yang turut tertera tarikh ianya akan dilaksanakan sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebelum ini.

“Agak memalukan sekiranya kerajaan yang mahu mengentengahkan Malaysia sebagai hab ekonomi digital serantau gagal untuk menguruskan isu pendaftaran pengundi baharu yang dikira amat mudah dilakukan pada era digital dan data raya,” kata Muda menerusi kenyataan hari ini.

Bagi Muda, penjelasan daripada kerajaan penting kerana Rais merupakan Yang Dipertuan Dewan Negara disokong oleh Ahli Parlimen dalam kalangan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Parti itu berkata demikian sambil menyanggah kenyataan Rais  yang dilaporkan berkata dasar Undi 18 tidak sesuai dilaksanakan.

Parti itu menganggap kenyataan berkenaan bercanggah dengan dengan keputusan Dewan Rakyat yang dipersetujui oleh 2/3 ahli Parlimen sebelum ini selari dengan amalan dan sistem demokrasi negara untuk memberikan hak mengundi kepada golongan belia berusia 18 tahun.

“Semalam kita dikejutkan dengan laporan akhbar yang memetik kenyataan Rais  yang memaklumkan  kerajaan, daripada ‘segi politik’, tidak akan melaksanakan keputusan untuk menurunkan hak mengundi kepada 18 tahun.

“Kenyataan Rais juga tidak selari dengan pendirian Menteri Undang-Undang sebelum ini yang memberi jaminan bahawa had umur undi 18 tahun ini akan berjalan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

“Kami melihat alasan-alasan teknikal yang diberikan oleh beliau (Rais Yatim) kelihatan cetek dan berbaur dangkal,” tambah Muda.

Untuk rekod, Rais dilaporkan berkata negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi usia 18 tahun turut memakan masa lama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast