Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat di negara bangkit dengan mendakwa kerajaan gagal menangani ancaman pandemik Covid-19.

Malah kata Anwar, rakyat terpaksa membantu sesama sendiri, yang miskin bantu yang miskin kerana yang kaya dengan keuntungan berbilion ringgit tidak mahu melakukan apa-apa ketika rakyat sedang menderita.

Anwar mendakwa, kerajaan yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) lebih banyak mempergunakan darurat untuk kepentingan mereka.

”Rakyat sudah tidak boleh tunggu lagi, bila kerajaan gagal rakyat harus bangkit menuntut perubahan.

“Kita ada malapetaka Covid-19, cara menangani hiruk pikuk kelam kabut. Menteri tidak bercakap sesama sendiri, sebaliknya hendak tunjuk mereka ada hebat, ada kuasa. Buka sana, tutup sini, untuk rakyat lockdown’ PKP.

“Mahu kuasa tetapi tidak tahu lakukan dengan baik. Kesannya? Rakyat menderita.

Menurut Anwar, jumlah kematian, pesakit tenat dan positif jangkitan Covid-19 meningkat namun jumlah ujian masih tidak bertambah dan beliau tidak peduli apa yang hendak kerajaan mahu katakan.

Beliau mendakwa data negara mengenai Covid-19 tidak tepat dan perkara utama untuk mengekang penularan virus itu ialah vaksin.

“Kamu pesan lambat rakyat akan derita, mati lebih ramai, itu sahaja. Tapi jawab kamu, itu takdir.

“Betul takdir, tapi Allah telah berikan ikthihar dan yang memikul tanggungjawab, itu perlu pikul tanggungjawab berkenaan, ada ketelusan tapi sibuk riuh kononnya ada kumpulan anti vaksin.

“Yang mendaftar lebih 9 juta, tapi yang anti vaksin sikit-sikit kamu kecohkan,” katanya ketika berucap secara maya hari ini.

Anwar berkata, beliau berasa pelik apabila pelbagai alasan teknikal diberikan kerajaan terutamanya dalam soal program imunisasi namun ia tidak pula terjadi ketika meminta undi pada pilihan raya.

“Saya hendak tanya bagaimana pula ketika pilihan raya setiap pengundi boleh dikerah oleh kamu (ahli politik) termasuklah yang sakit tenat, OKU, Orang Asli di pedalaman boleh diangkut tanpa sebarang masalah,” katanya sambil menambah masalah kelembapan memberi vaksin tidak akan selesai pada hujung tahun ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast