Gambar hiasan

TULAR bahawa doktor kontrak seluruh Malaysia akan mogok sekiranya dua tuntutan seperti di dalam Memorandum Gerakan Hartal Doktor Kontrak tidak diselesaikan.

Dua tuntutan tersebut adalah supaya pihak kerajaan menawarkan perlantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak dan memberikan butiran terperinci berkenaan kriteria untuk perlantikan tetap.

Dua perkara ini adalah sangat penting kepada lebih 23,000 barisan pegawai perubatan kontrak tersebut. Ditambah dengan keadaan sistem kesihatan negara yang berada dalam keadaan runcing akibat Covid-19.

Selain itu, isu lain yang turut dibangkitkan adalah jurang gaji yang besar di antara doktor tetap dan doktor kontrak serta ketiadaan peluang untuk melanjutkan pelajaran melainkan dengan tajaan sendiri.

Gerakan ini telah bercadang untuk “walk-out” daripada tempat kerja sekiranya pihak kerajaan gagal untuk memberikan sebarang maklum balas terhadap tuntutan tersebut.

Saya melihat bahawa perkara ini adalah suatu yang kritikal dan wajar ditangani oleh pihak kerajaan dengan bijak.

Suatu perubahan yang radikal ke atas polisi wajar dilakukan dengan segera bagi menyelesaikan isu pegawai perubatan kontrak ini. Selain itu, respons yang segera juga wajar dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memberi klarifikasi kepada barisan doktor kontrak yang kini berteka-teki tentang soal masa depan mereka.

Oleh itu, saya berharap dan menyeru supaya pihak kerajaan dapat berlembut dan menyelesaikan perkara ini sebaiknya tanpa mengambil sebarang tindakan disiplin atau undang-undang ke atas pegawai barisan hadapan muda yang penting buat negara ketika ini.

Harus diingatkan bahawa tindakan ini adalah satu pilihan akhir yang merupakan suatu hak ekspresi barisan doktor kontrak yang dlindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Saya percaya para doktor kontrak sedar akan Borang Perjanjian Pegawai Kontrak yang ditandatangani disamping risiko untuk berdepan dengan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Walau bagaimanapun, apabila tindakan seperti ini masih berlaku, bermakna terdapat sesuatu yang “tidak kena” dan serius sedang berlaku.

Sehubungan itu, saya menyeru supaya pihak kerajaan tidak sesekali membuat keputusan gopoh dengan mengenakan tindakan undang-undang kerana tindakan tersebut bukan sahaja akan mengeruhkan keadaan, tetapi Malaysia juga akan kehilangan sejumlah bakat muda yang bakal menerajui pentadbiran sistem kesihatan awam.

Sekian, terima kasih.

Khairul Naim Rafidi
Peguambela dan Peguamcara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast