Gelagat pemain Malaysia, Adam Nor Azlin (tengah) meraikan jaringan kedua Malaysia yang dihasilkannya bersama rakan sepasukan ketika perlawanan pertama menentang Brunei pada Kejohanan Sukan Sea KL 2017 di Stadium Shah Alam, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 14 OGOS 2017

SHAH ALAM – Skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B22) berjaya menyerap tekanan untuk mengutip tiga mata dalam aksi pertama Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila menang tipis 2-1 ke atas Brunei di Stadium Shah Alam, semalam.

Menampilkan aksi menyakinkan untuk membelasah lawan, anak buah Datuk Ong Kim Swee bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit keempat menerusi Muhammad Safawi Rasid.

Penyerang JDT itu melakukan volley cantik hasil hantara pemain sayap kelahiran Australia, Matthew Thomas Davies untuk menewaskan penjaga gol Brunei, Haime Anak Nyaring.

Namun Brunei menggamamkan ribuan penyokong setia Malaysia apabila gawang Harimau Malaya dibolosi pada minit ke-11 hasil jaringan Mohamed Zulkhairy Hady Razali.

Bermula babak kedua, Malaysia menggandakan asakan dan hampir mendahului pada minit ke-47 tetapi ketumpulan bahagian serangan sekali lagi mengecewakan kira-kira 8,000 penyokong setia skuad kebangsaan.

Namun kekebalan benteng pertahanan Brunei tidak bertahan lama apabila penyerang Malaysia, Adam Nor Azlin berjaya merobek gawang Haimie menerusi tandukan kencang pada minit ke-60.

Sementara itu, Malaysia tidak pernah tewas dalam enam pertemuan dalam rekod pertemuan Sukan SEA sejak 1977.

Kali terakhir pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan kompetitif adalah 2 September 2001 yang menyaksikan Malaysia menang besar 5-0.

Malaysia kini menduduki tangga kedua Kumpulan A berkongsi mata dengan Myanmar yang memiliki kelebihan perbezaan gol.

Turut menghuni kumpulan sama adalah Singapura dan Laos.

Terdahulu, naib juara Sukan SEA edisi 2015, Myanmar tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata apabila menewaskan Singapura dengan keputusan 2-0.

Malaysia akan berdepan Singapura pada perlawanan kedua Kumpulan A pada 16 Ogos ini di Stadium Shah Alam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast