Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri telah memanggil Duta Besar China untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China, termasuk kapal penyelidikan di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Wisma Putra dalam kenyataan malam tadi berkata, tindakan itu adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.

“Pendirian dan tindakan konsisten Malaysia adalah berdasarkan undang-undang
antarabangsa, demi mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan di dalam perairan
negara.

“Malaysia juga sebelum ini pernah membantah pencerobohan oleh kapal-kapal
asing yang lain ke dalam perairan negara,” kata kenyataan itu tengah malam tadi.

Tambah kementerian itu lagi, dalam menentukan pendirian dan tindakan yang diambil oleh Malaysia berhubung isu Laut China Selatan yang kompleks dan melibatkan hubungan antara negara, kepentingan negara akan terus dijadikan sebagai asas utama.

“Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua perkara yang berkaitan dengan Laut
China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip
undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk KUUL 1982,” tegas Wisma Putra di Putrajaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast