Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai pesakit mental yang disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan selepas ditahan polis.

Lelaki tersebut mengamuk dan menyerang bapanya di rumah mereka di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar pada jam 7 malam, semalam, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

Katanya, polis tiba di lokasi ketika suspek dalam keadaan agresif dan bergelut serta ditahan di atas tanah oleh empat lelaki termasuk bapanya.

“Polis kemudian membantu menahan lelaki tersebut untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar, suspek tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Azri berkata, kes ini diklasifikasikan kes mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh.

Kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) jabatan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast