KUALA LUMPUR – Walapun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah meningkatkan kawalan bagi menghalang rakyat Singapura daripada menggunakan petrol bersubsidi namun kejadian tersebut masih lagi berlaku.
Seorang pengguna Facebook Ika Atikah merakam gambar seorang pemandu dari negara jiran itu sedang mengisi petrol bersubsidi untuk kenderaannya.
Menurut Ika Atikah, walapun beliau telah menegur rakyat Singapura tersebut dengan memberitahu perbuatannya adalah menyalahi undang-undang Malaysia namun pemandu itu tidak menghiraukannya.
“Bro hijau je boleh, kuning tu untuk kita orang. Dah sound setepek tadi tapi dia buat muka langsi.
“Dia cari pump belakang jadi orang tak perasan. Time peak hour ramai orang dan mostly yang tengah isi minyak ialah plate SG staf memang tak perasan. Lokasi Jalan Pandan,” katanya.
Ketika ini harga minyak dunia melebih AS$100 dolar setong dan di Malaysia harga RON97 naik dari RM3.45 pada 3 Mac kepada RM3.91 seliter ketika ini.
Manakala minyak bersubsidi kekal RM2.05 seliter.
Semalam Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya melakukan pemantauan lebih agresif di semua stesen minyak terutamanya berdekatan dengan bersempadan melalui Op Pantau 2022.
“Selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, Op Pantau 2022 turut akan memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara bermula 1 April lalu,” katanya.
Kenyataan dikeluarkan Alexander selepas tular satu gambar menunjukkan seorang lelaki mengisi RON95 pada kenderaannya yang mempunyai nombor pendaftaran Singapura.
Kementerian juga telah mengarahkan KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan.
Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).
Individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi perbadanan atau syarikat pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
Orang ramai boleh membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya.-MalaysiaGazette
















