Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan peluang terakhir kepada rakyat Malaysia untuk menyelamatkan negara daripada gagal seperti Sri langka dan Zimbabwe.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, PRU yang akan berlangsung bulan depan adalah pilihan raya umum paling penting dalam tempoh 65 tahun sejarah negara.

“Perkara ini adalah kerana PRU ini merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan dan menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 negara kita

“Dan bukannya membiarkan Malaysia menjadi hanya satu lagi negara yang biasa sahaja, atau lebih buruk lagi, sebuah negara gagal seperti Sri Lanka dan Zimbabwe,” kata Kit Siang.

Beliau yang telah bersara politik dan tidak akan bertanding pada PRU15 berkata, dia telah telah mengorbankan 57 tahun kehidupan demi politik Malaysia.

Ini termasuk 15 bulan di dalam Pusat Tahanan Muar dari tahun 1969 sehingga 1970.

Kit Siang berkata, dia tidak akan berputus asa dengan ‘impian Malaysia’ iaitu semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama boleh mendapat kehidupan yang lebih baik dari segi politik, ekonomi, sosial atau alam sekitar di Malaysia.

Beliau yang sepanjang karier politik menjadi pembangkang berkata, impian Malaysia masih belum memenuhi dalam enam dekad selepas negara merdeka.

“Saya minta semua rakyat Malaysia untuk bertanya diri mereka dua soalan apabila mereka membuang undi pada 19 November 2022; pertama, sama ada Malaysia masih boleh diselamatkan; dan kedua, sama ada Malaysia patut diselamatkan.

“Malaysia masih “boleh diselamatkan” dan patut diselamatkan. Sekiranya Malaysia tidak dapat diselamatkan dan tidak berbaloi untuk diselamatkan, maka itulah penghujung ceritanya.

“Namun, Malaysia masih belum mencapai tahap negara berpecah belah dan gagal walaupun kita telah ketinggalan agak terkebelakang dari jangkaan kita untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia,” katanya.

Menurut Kit Siang, Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.

Namun beliau mempersoalkan, bolehkah Malaysia menggunakan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun hebat tersebut untuk menjadikan negara “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

“Sekiranya kita boleh berbuat demikian, Malaysia masih berpeluang untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dan kita boleh menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.

“Inilah cabaran kita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. lu suruh anak lu jangan bertanding la apek..suruh anwar pun jgn bertanding. sebab anak lu denga. anwar xde integriti. sorang rasuah sorg bekas banduan. amacam setuju.

Comments are closed.