Kegembiraan jelas terpancar diwajah para graduan UMT pada majlis konvokesyen semalam.

KUALA NERUS – Seramai 1,601 graduan diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-20 yang berlangsung selama empat sesi bermula semalam.

Mereka yang diraikan terdiri daripada 171 graduan pasca siswazah, 1297 graduan sarjana muda dan 133 graduan diploma.

Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-20 di
Dewan Sultan Mizan, UMT semalam.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT dalam titah baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan UMT dan penerima anugerah pada majlis berkenaan.

Baginda turut berkenan menyampaikan skrol dan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Datuk Dr. Annabel Teh Gallop atas kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang ketamadunan Islam, budaya, seni dan warisan Melayu Asia Tenggara.

Antara 1,601 graduan UMT diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-20 semalam.

Pada majlis itu juga, Datuk Rozano bin Saad, 65 sebelum ini merupakan Pengarah Urusan Shell dan Head of Petronas Downstream Business Excellence turut dilantik sebagai Profesor Adjung UMT dan telah membawa kerjasama industri-UMT dalam mencapai matlamat kemampanan bagi menyelesaikan isu alam sekitar. Malah kepakaran serta sumbangan bakti beliau kepada negara dan dunia juga tidak dapat disangkal.

Beliau turut menerima skrol ijazah kehormat daripada Sultanah Nur Zahirah.

Turut diraikan pada majlis ini adalah penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor.

Sementara itu, tiga graduan orang kurang upaya (OKU) iaitu Mohammad Amirul Aiman Mohd Rodzi, Siti Nur Athirah binti Abdul Talib dan Indran A/L Arumugam masing-masing merupakan graduan Sarjana Muda Kaunseling dan Sarjana Muda Perakaunan turut diraikan pada majlis konvokesyen kali ini.

Penganugerahan Ijazah Anumerta turut disampaikan kepada ibu bapa Allayarhamah Fatin Nabila Kamaruddin, graduan Sarjana Muda Perakaunan yang telah meninggal dunia akibat kanser darah pada September 2021.

Menurut Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr. Mazlan Bin Abd Ghaffar, UMT terus komited memacu kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pelan Induk Kebolehpasaran Graduan dan penawaran program pengajian berimpak tinggi yang relevan dan berteraskan industri.

Tambahnya UMT turut memfokuskan pembangunan program pembelajaran sepanjang hayat dan pemerkasaan proses pemantauan perkembangan pencapaian pelajar agar graduan berkualiti dapat dihasilkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast